Militan Daesh lancar serangan balas di timur Syria, 47 maut


Militan Daesh melancarkan serangan balas di timur Syria untuk merampas kembali kubu kuat mereka di wilayah Deir Ezzor. – Gambar fail AFP, 25 November, 2018.

SERANGAN balas militan Daesh menyebabkan 47 tentera yang disokong Amerika Syarikat (AS) terkorban ketika kumpulan pelampau itu cuba merampas kembali kubu kuat mereka di timur Syria.

Pertempuran itu melibatkan Tentera Demokratik Syria (SDF) yang berusaha mengusir militan Daesh dari wilayah Deir Ezzor yang terletak bersempadan Iraq.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata militan Daesh melancarkan tiga serangan berasingan sejak Sabtu.

Serangan itu mensasarkan kampung Al-Bahra dan Gharanij serta sebuah kawasan berhampiran lubuk minyak Al-Tanak.

Jurucakap SDF Mustefa Bali mengesahkan serangan itu di lokasi terbabit dan pertempuran sengit masih lagi berlangsung.

Pertempuran pada Sabtu sahaja menyaksikan 29 anggota SDF maut, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 47 orang.

Militan Daesh turut kematian 39 anggotanya termasuk dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera udara AS.

Militan Daesh dalam kenyataannya mengesahkan serangan balas ke atas Al-Bahra dan Gharanij.  – AFP, 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen