POLIS Pakistan menahan beratus-ratus penyokong seorang ulama yang partinya melumpuhkan negara dengan protes ganas terhadap pembebasan seorang wanita Kristian yang dituduh menghina Islam.
Penahanan itu dibuat beberapa jam selepas Khadim Hussain Rizvi, yang merupakan pemimpin parti Tehreek-e-Labaik Pakistan (TLP), ditahan di Islamabad.
Susulan penahanan Khadim dan pemimpin TLP, penyokong parti itu mahu mengadakan protes besar-besaran menjelang perhimpunan parti itu yang dijadualkan hari ini.
Lebih seratus penyokong ditahan di Karachi pada malam Jumaat apabila penunjuk perasaan menutup jalan dan bertempur dengan polis susulan penahanan pemimpin mereka, kata pegawai polis Ghulam Azfar Mahesar
Menteri Penerangan Punjab Fayyaz ul Hassan Chohan berkata penahanan masih dibuat di beberapa kawasan di wilayah itu semalam.
Bagaimanapun beliau enggan memberikan jumlah sebenar penyokong yang ditahan dalam operasi tersebut.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Punjab mengeluarkan kenyataan bahawa situasi tersebut dalam pemantauan.
Jelas kenyataan itu penahanan Khadim tidak ada kena mengena dengan kes Asia Bibi, wanita Kristian yang menunggu hukuman mati selama lapan tahun sebelum Mahkamah Agung membatalkan sabitan kesalahannya pada bulan lepas.
eputusan mahkamah mencetuskan demonstrasi dahsyat yang diketuai oleh TLP, dengan para penunjuk perasaan menggesa pelaksanaan hukuman terhadap Bibi ketika mereka menyekat jalan utama, menyebabkan negara lumpuh.
Sebagai tindak balas, kerajaan membuat perjanjian dengan pihak berkuasa Islam untuk mengenakan larangan perjalanan ke atas Bibi, yang dibebaskan dari penjara awal bulan ini ketika menanti keputusan akhir semakan semula kesnya.
TLP bersumpah turun ke jalanan jika wanita itu dibenarkan keluar dari negara ini. – AFP, 25 November, 2018.
Komen