Banyak cawangan Umno berisiko diharam


SM Amin

Hanya 19,000 daripada keseluruhan kira-kira 21,000 cawangan Umno difahamkan mengadakan mesyuarat agung masing-masing di antara 19 Mei hingga 10 Jun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 November, 2018.

LEBIH 60% cawangan Umno di seluruh negara berisiko diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana melanggar Akta Pertubuhan 1966.

Ini memandangkan hanya 19,000 daripada keseluruhan kira-kira 21,000 cawangan Umno difahamkan mengadakan mesyuarat agung masing-masing di antara 19 Mei hingga 10 Jun lalu.

Daripada jumlah itu pula, hanya 8,000 cawangan menghantar Borang 9 iaitu laporan mesyuarat agung cawangan masing-masing seperti ditetapkan Peraturan 10 Akta Pertubuhan 1966.

Borang 9 yang mengandungi lampiran minit mesyuarat semasa, senarai ahli jawatankuasa dan penyata Kewangan itu perlu dikemukakan setiap cawangan Umno berdaftar kepada RoS dalam tempoh 60 hari daripada tarikh cawangan bersidang.

Ketika ditanya, sumber pengurusan Umno bahagian di Selangor mengesahkan cawangan yang tidak mengadakan mesyuarat dan tidak menghantar Borang 9 itu akan dibatalkan pendaftaran.

“RoS hanya boleh batalkan cawangan yang tidak hantar Borang 9, tidak buat mesyuarat. Cawangan itu kalau hendak dihidupkan semula kena daftar semulalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pembatalan itu hanya akan melibatkan cawangan terbabit dan bukannya Umno bahagian.

Sementara itu satu sumber Umno Johor berkata kegagalan menghantar Borang 9 mungkin berpunca daripada sikap sambil lewa setiausaha atau setiausaha kerja bahagian.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu berisiko diharamkan susulan surat tunjuk sebab daripada RoS yang diterima pada 28 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2018.

Katanya, wakil bahagian juga sepatutnya memantau perjalanan mesyuarat di setiap cawangan untuk memastikannya berjalan lancar mengikut peraturan ditetapkan.

“Jika sebelum ini Bahagian akan membantu Cawangan untuk mengisi Borang 9 tetapi apa yang berlaku tahun ini diserahkan sepenuhnya kepada Cawangan. Bukan semua pemimpin di Cawangan ini jelas dengan prosedur ini,” katanya.

Sumber itu juga tidak menolak andaian bahawa kekalutan berpunca daripada perjalanan mesyuarat cawangan yang banyak dilakukan secara tergesa-gesa pada tahun ini.

Sumber berkenaan mengulas pendedahan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu berisiko diharamkan susulan surat tunjuk sebab daripada RoS yang diterima pada 28 Oktober lalu.

Zahid pada waktu itu berkata RoS tidak boleh dipersalahkan jika cawangan Umno tidak mengadakan mesyuarat.

“Seharusnya 19,000 cawangan hantar borang 9 ke Bahagian dan dihantar ke Perhubungan Negeri sebelum ke Pusat. Yang sampai kira-kira 8,000 saja.

“RoS guna alasan ini untuk mengharamkan dan surat tunjuk sebab telah kita terima. Kalau kita mahu salahkan RoS 100%, bagaimana kesalahan yang kita lakukan?” katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggariskan empat formula untuk mengatasi risiko pengharaman tersebut antaranya termasuk “menumpang” parti Barisan Nasional. – 26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen