Siasatan kilang haram, SPRM jumpa penduduk Sungai Lembu


Looi Sue-Chern

Pegawai SPRM menghabiskan hampir sejam bercakap dengan ketua jawatankuasa kampung Sungai Lembu dan dua yang lain di kedai kopi di depan kampung itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 18 Ogos, 2017.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melawat ke kampung Sungai Lembu untuk bertemu dan berbual dengan penduduk tempatan berhubung kilang memproses penapis karbon haram di kawasan itu.

Ketua jawatankuasa kampung Tan Sing Lee; pengarah ladang ayam dan pemilik kebun nanas bersebelahan kilang itu, dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di Butterworth petang ini.

Tan berkata beliau dimaklumkan awal pagi ini yang pegawai SPRM datang untuk menemu bual mereka.

“Mereka boleh saja ambil keterangan kami di sini tetapi selepas lihat ada ramai wartawan di sini, mereka kata kami perlu ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata mereka diberikan perintah secara bertulis untuk hadir ke pejabat SPRM untuk merakamkan kenyataan.

Setiausaha JKKK Sungai Lembu Yeo Keng Chuan berkata beliau akan menemani Tan.

Pegawai SPRM menghabiskan hampir sejam bercakap dengan Tan dan dua yang lain di kedai kopi di depan kampung itu.

Wartawan ke kawasan itu untuk membuat liputan sidang akhbar pemimpin DAP Lim Kit Siang yang melawat kampung berkenaan sejam sebelum ketibaan pegawai SPRM.

Lim dan beberapa pemimpin DAP singgah di beberapa kampung dalam jelajah mereka sekitar Kulim.

SPRM sedang menyiasat pemilik kilang itu dan exco Pulau Pinang Phee Boon Poh, yang menulis surat meminta tindakan penguatkuasaan terhadap kilang itu ditangguhkan pada 2015 dan 2016.

Phee didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapat ganjaran, tetapi beliau dan pentadbiran Pulau Pinang membantahnya.

Phee yang berada dalam tahanan SPRM sejak Jumaat hingga Isnin lalu, pada masa ini sedang cuti sakit sehingga Isnin depan.

Penduduk sekitar membuat aduan mengenai kilang haram itu yang beroperasi kira-kira 15 tahun lalu, menyebabkan pencemaran udara.

SPRM dan beberapa pihak berkuasa persekutuan menyerbu kilang itu, sehari sebelum Phee serta pengurus dan pengarah kilang itu ditahan bagi membantu siasatan. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen