SEORANG lelaki yang menyertai perhimpunan “jaket kuning” dan mempunyai bahan letupan mendesak supaya dibenarkan berjumpa presiden Perancis menyerah diri kepada polis di barat Perancis semalam, kata pegawai tempatan.
Lelaki berusia 45 tahun itu yang memakai jaket berwarna kuning berserta bahan letupan mendedahkan dirinya di sebuah pusat cuci kereta di sebuah kompleks beli belah di bandar Angers.
Beliau menyerah diri pada jam 10:40 malam di kawasan parkir kompleks beli belah itu selepas beberapa jam berunding dengan polis, kata Jabatan Maine-et-Loire.
“Beliau mendesak jaket kuning itu dihantar ke Elysee (istana presiden),” kata pendakwa raya tempatan Yves Gambert kepada AFP.
Pegawai tempatan Bernard Gonzales berkata: “Terdapat risiko sebenar, bahaya sebenar, dia ada bahan letupan di lehernya..ini bukan palsu.”
“Ia boleh membahayakan semua ‘jaket kuning’ yang menghabiskan masa tengahari dengannya,” katanya sambil menambah yang lelaki itu ada pengalaman dengan bahan letupan.
Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner menerusi Twitter berkata lelaki itu mengugut untuk menggunakan “bahan letupan tidak diketahui dan bom tangan yang diubah suai”.
Bahan letupan itu sedang dikaji oleh pakar, kata Gonzales.
Kejadian itu berlaku di kompleks beli belah Escape Anjou, berhampiran kawasan berkumpul perhimpunan “jaket kuning” di Angers minggu lepas.
Demonstrasi yang diketuai oleh pengundi luar bandar yang memakai “jaket kuning” terang sedang berlaku di seluruh negara. Mereka membantah kenaikan harga minyak dan dasar tidak popular Presiden Emmanuel Macron.
Pergerakan itu sudah membuat kenyataan yang lelaki itu tiada kaitan dengan mereka. – AFP, 24 November, 2018.
Komen