PEMUDA PKR Sabah hari ini mengecam cubaan sebilangan ketua cabang yang mahu menyingkirkan kepimpinan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.
Difahamkan sehingga 15 orang ketua cabang yang baharu dilantik akan bertemu hari ini di sebuah hotel di Kota Kinabalu untuk menyingkirkan Liew dan pasukannya.
Setiausaha Penyelaras Pemuda Sabah Razeef Rakimin mengesahkan kepada The Malaysian Insight yang pemimpin berkomplot itu akan membincangkan penyingkiran kepimpinan semasa.
“Kongres Nasional parti baru sahaja tamat dan menyaksikan Anwar Ibrahim jadi presiden parti.
“Untuk Sabah, biarkan Anwar tentukan siapa yang akan ambil alih kepimpinan di Sabah dan itu termasuklah jika beliau mahu mengekalkan Liew selaku pengerusi negeri,” katanya.
Pertemuan yang dikatakan berlaku tengahari ini terdiri daripada pemimpin kem kartel Azmin Ali.
Ketua Cabang Kudat Rahimah Majid semalam menyebut yang mereka mempunyai jumlah ketua cabang mencukupi untuk menyingkirkan Liew selaku pengerusi negeri.
Menurutnya, 15 daripada 26 ketua cabang termasuklah ketua cabang Labuan menyokong usaha itu.
Liew ketika dihubungi berkata beliau tidak terkejut dengan cubaan kumpulan itu, menyifatkannya sebagai “berita lama”.
Ditanya sekiranya beliau sedar tentang mesyuarat hari ini, beliau berkata: “Tidak tahu. Biarlah.”
Pelantikan pengerusi negeri diputuskan oleh presiden parti, tetapi kerana wujud desakan untuk autonomi lebih kepada Sabah dan Sarawak, hasrat ketua cabang perlu didengar presiden sebelum membuat keputusan muktamad.
Sumber turut mengesahkan beberapa ketua cabang daripada kem Rafizi Ramli turut terlibat dalam komplot menyingkirkan Liew itu. – 24 November, 2018.
Komen