GEMPA bumi yang melanda New Zealand dua tahun lalu menyebabkan dua pulau utamanya bergerak ke arah satu sama lain, dan satu bandar semakin tenggelam, menurut saintis.
Tetapi marginnya minimum dengan jarak antara pulau utara dan selatan menyempit hanya 35 sentimeter (13 inci setengah), manakala Nelson di bahagian atas pulau selatan tenggelam sehingga 20 milimeter.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada 14 November pada asalnya menolak kedua-dua pulau itu beberapa meter lebih dekat dan garis sesar memasuki pulau di selatan jauh ke utara.
Bagaimanapun, jarak dari Cape Campbell, di mana retakan garis sesar berakhir di pulau selatan, dan ibu negara New Zealand Wellington di bahagian bawah pulau utara masih lebih 50 kilometer.
Sekurang-kurangnya terdapat 25 retakan garis sesar semasa gempa 2016, disifatkan pakar geologi gempa Rob Langridge daripada organisasi penyelidikan geosains kerajaan GNS sebagai salah satu gempa bumi paling kompleks mana-mana di dunia.
Felo saintis GNS, Sigrun Hreinsdottir, memberitahu laman web Stuff pada Jumaat jumlah garis sesar menjadikan ia sangat sukar untuk membezakan manakah yang menyebabkan rayap pasca gempa.
“Pada hakikatnya kita mempunyai semua rayap ini dan persoalannya, mana satukan (garis sesar) menjadi faktor dominan?”
Nelson, di bahagian atas pulau selatan tenggelam.
“Seluruh kawasan itu turun mungkin 10 hingga 20 milimeter, ia tidak banyak tetapi dapat dilihat di laman web kami,” katanya.
Saintis utama GNS, Kevin Berryman, berkata semua gempa bumi berskala 7.5 dan ke atas sangat rumit tetapi ia “sangat luar biasa” bagi 25 garis sesar retak serentak.
Gempa bumi Kaikoura melanda hanya selepas tengah malam dan kemudian ke utara dari tengah-tengah pulau selatan ke arah Selat Cook yang meliputi 170 kilometer dalam tempoh 74 saat.
New Zealand terletak di zon pergeseran antara plat tektonik Indo-Australia dan Pasifik, sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik, dan mengalami lebih 15,000 gempa bumi setahun walaupun hanya 100-150 yang cukup kuat untuk dirasai. – AFP, 24 November, 2018.
Komen