Isu PTPTN dan ICERD boleh jadi punca jahanam


Zainal Rashid Ahmad

LEGA. Itu perasaan apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) melalui kenyataan ringkas semalam.

Satu bukti, kontrak sosial yang menjadi teras Perlembagaan Persekutuan dipertahankan dalam senario dunia yang tidak memiliki sejarah unik kepelbagaian kaum seperti Malaysia.

Namun itu bukan bererti persekitaran politik semasa berada dalam keadaan tenang. Masih banyak isu perlu segera ditangani termasuk kehangatan perkauman yang dijangka kekal membara walaupun PM sudah tegas bersuara.

Isu PTPTN juga akan kekal hangat. Hampir 500,000 peminjam PTPTN benar-benar rasa kena tipu. Kita boleh lihat dan nilai melalui respons terbuka dan komen-komen kemarahan anak muda di media sosial.

Apa yang dibentang dalam Belanjawan 2019 sangat mengecewakan. Ia dianggap penipuan berbanding janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Janji manifesto, hanya peminjam bergaji RM4 ribu ke atas akan dikenakan bayaran balik. Namun, syarat Belanjawan 2019 menuntut gaji RM1,000 wajib membayar semula.

Ini amat mengejutkan. Malah, kadar bayaran pula antara 2 hingga 15%. Perincian formula pembayaran masih dinantikan. Sikap pengerusi PTPTN yang juga pakar strategi manifesto PH, Wan Saiful Wan Jan pula dianggap seperti lepas tangan.

Alasan Wan Saiful, kekurangan akses dan data punca utama isu PTPTN dalam manifesto disalah janji. Malah, sekarang Wan Saiful menggunakan jalan mudah: minta maaf kerana gagal penuhi janji manifesto.

Selebihnya, kata Wan Saiful, PTPTN boleh bankrap dengan hutang lebih RM40 bilion sekiranya gagal dilunas peminjam.

Sebenarnya banyak perkara mustahil dijanjikan dalam manifesto PH. Namun, menjelang 100 hari pemerintahan, Dr Mahathir sudah menjelaskan. Ada banyak perkara tidak akan dapat ditunaikan.

Antaranya, penghapusan tol. Dr Mahathir mengaitkan dengan hutang dan komitmen negara berjumlah RM1 trilion. Ketika itu, rakyat faham dan menerima hakikat tersebut.

Namun, enam bulan selepas PRU, ketika Belanjawan 2019 dibentang, anak muda melenting. Marah betul, sebab mekanisme pembayaran balik PTPTN sangat tidak masuk akal. Petisyen dilancarkan atas talian. Jangkaan 100,000 tanda tangan akan diperolehi dengan mudah.

Selain tanda tangan peminjam, ia akan dihangatkan tanda tangan pembangkang yang mahu menangguk di air keruh. Namun, itulah solidariti. Kerajaan kena terima hakikat, isu pembayaran PTPTN kini menjadikan PH mulai tidak popular dalam kalangan anak muda.

Jangan perlekeh anak muda. Jangan sesekali. Undi anak muda yang membantu terbinanya kerajaan PH sekarang. Trend kebangkitan undi anak muda pada 9 Mei adalah bukti: kuasa undi mereka mampu mengubah kerajaan.

Dr Wan Muhamad Hasni Wan Sulaiman, penganalisa utama Lead us Think Tank Group ketika diwawancara selepas sesi Belanjawan 2019 turut terperanjat.

“Apa benda kadar faedah semua ini. Ini pembiayaan pendidikan. Pelajar rasa tertipu,” katanya sebagai panel di TV Alhijrah.

Hingga sekarang, hampir 500,000 peminjam PTPTN masih tidak keruan. Agak berat kalau gaji RM3,000 dikenakan caj bayaran antara 8 hingga 10%.

Selain itu, apakah kadar faedah pinjaman masih dikekalkan? Apakah caj bulanan RM30 tiap sebagai fi proses akan pembayaran tetap dikenakan?

Wan Saiful perlu menjawab. Kalau sekadar kemaafan, sila simpan buat lirik lagu. Janji manifesto tidak mudah ditebus sekadar ungkapan maaf. Anak muda sedang marah.

Kesan ICERD sebagai sumber bencana

Kontroversi ICERD yang bermotif menjadikan Malaysia negara sama rata antara kaum pula telah meningkatkan suhu permusuhan. Malah, sudah menjurus kepada pertelagahan agama. Kalau debat ICERD dibiarkan, harga keamanan akan masuk longkang.

Selain kenyataan kurang bijak ahli politik dalam mempromosi atau menentang ICERD, anarkis perkauman turut membakar api permusuhan di media sosial.

Tanyalah setiap orang yang berakal: Apakah ICERD didebat masyarakat awam sebagai wacana ilmu, atau hasutan perkauman?

Percayalah, ICERD hampir menjadi bom masa yang menanti detik meledak. Isu yang mampu mencetuskan krisis fizikal berunsur perkauman dan agama!

Orang celik akal pasti menghidu bahaya dan akibat buruk ini.

Video lama 10 tahun lalu pun, kini jadi bahan yang mampu membakar tragedi fizikal. Video itu menukar pantas di media sosial.

Puak oportunis menjadikan sentimen video itu sebagai bahan hasutan. Nyalaannya macam sengaja mahu menjadikan menuju tragedi 13 Mei 1969.

Wawancara Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy yang juga pengerusi Hindraf kini disebar luas di media sosial. Walaupun itu video lama.

Orang Melayu Islam jadi marah kerana kenyataan video itu disifatkan fitnah dan pengkhianatan pada negara. Sebagai menteri, Waytha diminta bertanggung jawab kerana fitnah dalam wawancara di Belanda pada 2007 itu.

Isi kenyataannya jelas pembohongan besar. Orang Islam sangat marah walaupun sudah dijelaskan Waytha, ucapan itu dibuat sedekad lalu.

Antara isinya: “Kebanyakan India yang beragama Hindu, lahir dalam Hindu telah dipaksa untuk menukar agama. Banyak yang dipaksa untuk menukar agama jika mereka mahu bekerja dalam jabatan kerajaan, jika mereka mahu penajaan pelajaran dan sebagainya.

“Dan ribuan daripada kuil kami dirobohkan sepanjang 54 tahun yang lalu sejak kemerdekaan.

“Kami jangkakan sudah 10,000 kuil dimusnahkan setakat ini dan masih ada baki 23,000 lagi kuil Hindu dalam risiko (dirobohkan).”

Itu antara kenyataan liar Waytha dan orang Melayu Islam sangat tersinggung. Keadaan jadi lebih buruk kerana Waytha paling agresif mempromosi pelaksanaan ICERD.

Kerajaan PH perlu berhati-hati. Mandat menang PRU pada 9 Mei tidak boleh ditafsir melangkaui had yang munasabah. Puak anarkis dan pelobi cauvinis tidak boleh dibiarkan bermaharaja lela dalam agenda negara. Itu bahaya.

Selesaikan isu PTPTN dan pastikan anak muda kekal menyokong agenda negara. Manakala, ICERD ialah isu tidak perlu. Kecuali, kalau kita ada niat untuk sengaja menguji berapa harga keamanan yang sedang dinikmati.

Atau, kita memang sengaja gatal akal untuk menguji keharmonian sedia ada dengan isu perkauman dan sentimen agama. – 24 November, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen