SEORANG lelaki ditembak di tangan selepas pergaduhan di sebuah kompleks beli belah yang sibuk di New Jersey kerana Black Friday, kata polis, mencetuskan panik dalam hari jualan beli belah tersibuk tahunan itu.
Motif tembakan masih belum dapat dipastikan kerana mangsa enggan memberikan kerjasama, tetapi tembakan tersebut menyebabkan kompleks beli belah Jersey Gardens dikosongkan ketika polis menyerbu tempat kejadian.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pengunjung kompleks berkenaan bertempiaran menyelamatkan diri. Ada beberapa pengunjung berkata di Twitter yang mereka ingat ada penembak aktif di dalamnya.
Kompleks beli belah itu menerima 25,000 pengunjung dalam hari beli belah tersibuk itu, lapor media tempatan.
“Ia kejadian terasing,” kata Todd Kelly dari Jabatan Polis Elizabeth.
“Seorang lelaki ditembak di pergelangan tangan di Jersey Gardens Mall, antara kedai Tommy Hilfiger dan Marshalls.
“Kami masih belum menahan suspek, dan mangsa tidak bekerjasama mengenal pasti suspek. Kompleks itu sudah dikepung dan dikosongkan ketika ini,” kata Kelly.
Pergaduhan antara pengunjung beli belah pada Black Friday sering menyebabkan keganasan. 11 orang terbunuh dan 116 cedera pada hari berkenaan sejak 2006, menurut laman web Blackfridaydeathcount.com. – AFP, 24 November, 2018.
Komen