JUAN Antonio Hernandez, adik lelaki Presiden Honduras Juan Orlando Hernandez ditahan di Amerika Syarikat semalam disyaki ada kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah, kata pegawai.
Pihak berkuasa Honduras mengeluarkan kenyataan yang tangkapan di Miami itu adalah konsisten dengan pengisytiharan presiden bulan lepas yang “tiada sesiapa lebih tinggi daripada undang-undang” dan berlaku selepas khabar angina bertiup kencang tentang penglibatan Antonio Hernandez dalam penyeludupan narkotik.
Bekas ketua kartel Los Cachiros Devis Leonel Rivera Maradiaga memberikan keterangan di mahkamah New York pada 2017 yang beliau merasuah adik presiden yang ketika itu jadi wakil rakyat dan sebagai balasan mendapat bantuan untuk kerja penyeludupan dadahnya.
Maradiaga juga memberi keterangan terhadap Fabio Lobo, anak bekas presiden Honduras Porfirio Lobo yang sudah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun kerana bekerjasama dengan kartel Los Cachiros.
Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan bagaimana Los Cachiros menubuhkan sebuah syarikat perantara yang digunakan untuk menjalankan perniagaan dengan kerajaan yang menjadi agen pengubah wang haram keuntungan kartel tersebut.
Kartel Los Cachiros bertanggungjawab membawa masuk bertan-tan kokain ke Amerika Syarikat sebelum dihapuskan Pentadbiran Penguatkuasa Dadah AS (DEA).
Antonio Hernandez pada mulanya dituduh terlibat dalam penyeludupan dadah pada 2016 oleh bekas tentera Honduras Santos Rodriguez.
Rodriguez juga menuduh Antonio Hernandez bersubahat dalam rancangan untuk membunuh duta AS ke Honduras. Beliau menafikan semua dakwaan. – AFP, 24 November, 2018.
Komen