Brazil tuduh 2 bekas presiden curi wang negara


Luiz Inacio Lula da Silva dan Dilma Rousseff didakwa menerima rasuah daripada wang diseleweng dari gergasi minyak negara itu, Petrobas. – Gambar EPA, 24 November, 2018.

BRAZIL memulakan prosiding jenayah terhadap bekas pemimpin haluan kiri Luiz Inacio Lula da Silva dan Dilma Rousseff kerana didakwa menerima rasuah daripada wang diseleweng dari gergasi minyak negara itu, Petrobas.

Dua bekas presiden Parti Pekerja (PT) tu dengan keras menafikan dakwaan tersebut, menggelarnya usaha mencipta skandal bermotifkan politik.

Selain Lula dan Rousseff, presiden semasa PT dan beberapa bekas menteri turut disiasat.

Peguam Negara Rodrigo Janot memfailkan aduan tahun lepas menuduh mereka bersubahat membentuk organisasi jenayah yang menerima 1,480 juta reais (sekarang bernilai AS$390 juta) wang rasuah yang diambil daripada kekayaan negara.

Permohonannya diterima Mahkamah Persekutuan pada Jumaat, yang meminta orang kena tuduh membentangkan pembelaannya dalam tempoh 15 hari.

Ini adalah pertuduhan jenayah pertama di bawa terhadap Rousseff yang berkuasa pada 2010 dan dipilih semula pada 2014 sebelum disingkirkan pada 2016 atas dakwaan memanipulasi akaun awam.

Lula pula sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menerima rasuah sebuah apartmen di pesisir pantai ketika menjadi presiden pada 2003 hingga 2010.

Beliau juga mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi prosiding yang menunggu giliran bicara, mengaku tidak bersalah dan menyifatkannya sebagai pendakwaan politik. – AFP, 24 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen