Pakistan tahan ulama menjelang protes hina Islam


Pemimpin parti Tehreek-e-Labaik, Khadim Hussain Rizvi ditaham menjelang perhimpunan bantahan Islamabad. – Gambar EPA, 24 November, 2018.

POLIS Pakistan semalam menahan seorang ulama yang partinya baru-baru ini melumpuhkan negara dengan protes keras terhadap pembebasan seorang wanita Kristian yang dituduh menghina Islam.

Khadim Hussain Rizvi, yang merupakan pemimpin parti Tehreek-e-Labaik Pakistan (TLP), ditahan menjelang perhimpunan yang dijadualkan hari ini di Islamabad, kata menteri penerangan negara itu, Fawad Chaudhry.

“Khadim Hussain Rizvi berada dalam perlindungan tahanan polis dan dipindahkan ke rumah tamu,” tulis Chaudhry dalam Twitter, sambil menambah langkah itu tiada kaitan dengan kes Asia Bibi, seorang wanita Kristian yang menunggu hukuman mati selama lapan tahun sebelum Mahkamah Agung membatalkan sabitan kesalahannya pada bulan lepas.

“Ini untuk menjaga nyawa, harta dan perintah awam dan tiada kaitan dengan kes Asia Bibi,” kata Chaudhry.

“Undang-undang akan ditegakkan dan ia tidak boleh diserahkan kepada individu,” katanya.

Keputusan mahkamah mencetuskan demonstrasi dahsyat yang diketuai oleh TLP, dengan para penunjuk perasaan menggesa pelaksanaan hukuman terhadap Bibi ketika mereka menyekat jalan utama, menyebabkan negara lumpuh.

Sebagai tindak balas, kerajaan membuat perjanjian dengan pihak berkuasa Islam untuk mengenakan larangan perjalanan ke atas Bibi, yang dibebaskan dari penjara awal bulan ini ketika menanti keputusan akhir semakan semula kesnya.

TLP bersumpah turun ke jalanan jika dia dibenarkan keluar dari negara ini.

Dalam satu mesej video yang dikeluarkan semalam, seorang lagi pemimpin TLP, Pir Afzal Qadri menyeru bantahan baru, mengatakan polis menahan berpuluh pekerja parti di bandar pelabuhan Karachi dan bahagian tengah wilayah Punjab termasuk Lahore.

Kesalahan menghina Islam adalah isu besar di Pakistan yang majoritinya penduduk Islam. Walaupun tuduhan menghina Islam dan Nabi Muhammad tidak dapat dibuktikan, akan mengakibatkan kepada pembunuhan tanpa dibicarakan.

Kes Bibi berasal dari kejadian pada 2009 apabila dia meminta air semasa bekerja di ladang.

Pekerja wanita Islam melarangnya menyentuh mangkuk air kerana bukan Islam, dan pergaduhan dilaporkan meletus.

Imam tempatan kemudian mendakwa Bibi menghina Nabi Muhammad.

Bibi secara konsisten menafikan tuduhan itu, dan pendakwaannya mengumpul kumpulan hak asasi, ahli politik dan tokoh agama antarabangsa. – AFP, 24 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen