SEMAKIN ramai warga pekerja di Malaysia didapati terbeban dengan masalah kewangan dan menanggung banyak hutang yang perlu dibiaya sewaktu persaraan.
Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengumumkan demikian dalam satu laporan tinjauan ke atas tabiat pengurusan kewangan golongan pekerja dewasa seluruh Malaysia.
Laporan itu memberi amaran bahawa sejumlah besar golongan itu tidak mampu menyara hidup setiap bulan, tidak selesa dengan keadaan kewangan dan sukar pulih dari masalah kewangan.
Tiga daripada setiap 10 orang pekerja dewasa didapati terpaksa meminjam wang untuk memberi barangan keperluan dalam tempoh enam bulan lalu.
Seorang daripada setiap lima pekerja dewasa didapati tidak menyimpan wang sama sekali sejak enam bulan lalu.
Sebilangan besar daripadanya tergolong dalam kategori yang berpendapatan RM2,000 atau bekerja sendiri, menurut tinjauan itu.
“Ramai yang tidak ada wang untuk kegunaan kecemasan, perbelanjaan perubatan, tidak tidak dapat menampung perbelanjaan selama tiga bulan sekiranya diberhentikan kerja,” laporan itu dipetik.
Takfrif AKPK ke atas golongan yang mampu menyara hidup adalah individu yang dapat menampung keperluan harian, mampu membeli barangan yang diingini, dan tidak perlu meminjam untuk membeli keperluan asas.
Kedudukan kewangan selesa pula ditakrif sebagai memiliki wang yang cukup untuk menampung keperluan asas di samping memiliki wang tambahan pada akhir bulan.
Selain itu, individu berkenaan juga yakin dapat mencapai sasaran kewangan jangka pendek dan panjang serta dan yakin dapat bersara dengan selesa.
Tinjauan itu dijalankan seluruh negara bermula Januari hingga Julai tahun ini, melibatkan 3,500 orang pekerja dewasa.
AKPK merupakan satu unit bawah Bank Negara Malaysia (BNM).
Agensi itu menyatakan kebimbangan pada tahap tanggungan hutang, yang sama naik dengan kenaikan kos sara hidup.
“Dalam tempoh beberapa tahun lalu, permohonan pinjaman rumah lebih sukar di Malaysia kerana peningkatan harga hartanah tidak setara dengan kenaikan gaji.
“Ini mungkin menjelaskan sebab mengapa peratusan (pekerja dewasa) menanggung pinjaman rumah lebih rendah berbanding dengan (peratusan) menanggung pinjaman kereta, kerana (pinjaman kereta) lebih mudah dimohon,” kata laporan itu.
Bagi golongan dalam peringkat umur 40-49 tahun, pinjaman perumahan merupakan hutang paling besar. Pada usia ini, kebanyakan pekerja dewasa masih menanggung hutang rumah dan kereta.
Golongan di peringkat umur ini juga bagaimanapun didapati kurang membuat pinjaman peribadi, tetapi tanggungan hutang kad kredit lebih tinggi berbanding kumpulan usia lebih muda.
Hampir separuh daripada individu dalam usia 40-49 tahun didapati mempunyai hutang kad kredit.
Angka AKPK mendapati, dua daripada setiap 10 orang pekerja dewasa terpakasa meminjam wang untuk membeli barangan keperluan asas – yang menunjukkan kekurangan pengetahuan dan tabiat kewangan yang baik.
“Masalah ini perlu dibendung di peringkat awal. Campur tangan daripada kerajaan dan sektor swasta diperlukan, seperti menyediakan maklumat kewangan kepada golongan pekerja dewasa.”

Masalah semasa bersara
Tinjauan itu juga mendapati lebih separuh daripada golongan yang bakal bersara masih lagi menanggung hutang rumah dan kereta, dan sekurang-kurangnya separuh daripada individu berusia 50-59 tahun ini menanggung hutang tinggi.
Seramai 40% daripadanya masih menanggung hutang peribadi dan kad kredit dan lebih 10% membayar hutang yang bukan daripada institusi bank.
Firma tenaga manusia global Mercer dalam satu laporannya menyebut, rakyat Malaysia tidak dapat bergantung kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja untuk bersara dengan selesa.
Ketua pegawai operasinya di Malaysia, Hash Piperdy berkata Malaysia akan mempunyai lebih ramai warga tua – lebih 5 juta dijangka berusia 60 tahun menjelang 2030 dan hampir 10 juta orang menjelang 2050.
Mercer mencadangkan, pekerja perlu mempunyai jumlah caruman RM228,000 pada usia 55 tahun, untuk membolehkan mereka mengeluarkan RM950 sebulan bagi menanggung keperluan asas untuk tempoh 20 tahun.
Bagaimanapun, KWSP melaporkan hanya 18% daripada ahlinya memiliki simpanan RM228,000 dalam akaun mereka pada usia 55 tahun.
Untuk mengatasinya, Mercer mencadangkan agar tahap sokongan kepada individu berusia yang paling miskin dinaikan, dan meningkatkan tahap simpanan isi rumah dan mengurangkan hutang. – 24 November, 2018.
Komen