Lebih 100 migran kanak-kanak tidak dapat disatukan dengan ibu bapa


Mereka terpisah daripada keluarga masing-masing ketika menyeberangi sempadan Amerika Syarikat-Mexico tanpa dokumen sah. – Gambar EPA, 23 November, 2018.

LEBIH 100 migran kanak-kanak yang dipisahkan dari keluarga mereka oleh pihak berkuasa imigresen, dijangka tidak dapat bersatu semula, menurut laporan kerajaan persekutuan.

Mereka terpisah daripada keluarga masing-masing ketika menyeberangi sempadan Amerika Syarikat-Mexico tanpa dokumen sah.

Laporan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Manusia, mendedahkan beberapa bulan selepas dasar Toleransi Sifar Amerika Syarikat (AS), terdapat 147 kanak-kanak masih berada di bawah jagaan kerajaan Persekutuan, sebahagiannya tidak akan dikembalikan kepada keluarga masing-masinhg. 

Seramai 30 daripada kanak-kanak itu diisytiharkan tidak layak disatukan semula kerana ibu bapa mereka mempunyai rekod jenayah, walaupun sebahagian hanya jenayah kecil.

Sementara ibu bapa 117 kanak-kanak pula telah diusir ke negara asal mereka, merumitkan lagi proses penyatuan semula.

Pada Jun, seorang hakim di California mengarahkan pentadbiran Presiden Donald Trump menyatukan semula kira-kira 2,000 kanak-kanak migran dengan keluarga mereka dan memberikan tempoh selama 30 hari, dan arahan itu gagal dilaksanakan.

Sejak itu, kerajaan persekutuan membelanjakan AS$ 80 juta, kira-kira AS$30,000 untuk setiap anak bagi kos penjagaan dan menyatukan semula. – Bernama, 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen