PKR Sabah mahu singkir pengerusi negeri


Jason Santos

Nasib Pengerusi PKR Sabah Christina Liew hanya akan diketahui esok selepas 15 ketua cabang mengadakan pertemuan secara tertutup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018.

PKR Sabah dijangka merombak pucuk pimpinan parti termasuk menyingkirkan Christina Liew sebagai pengerusi PKR negeri apabila 15 daripada 26 ketua cabang mengadakan pertemuan esok.

Kesemua ketua cabang itu mahu Liew digantikan kerana mereka hilang keyakinan terhadap pimpinannya.

Ketua Cabang Kudat Rahimah Majid mengesahkan bahawa pertemuan tertutup akan diadakan esok.

“Ia bagi membincangkan kedudukan kepimpinan parti di Sabah termasuk kedudukan Liew,” kata sambil enggan mengulas masa dan lokasi pertemuan itu diadakan.

Menurutnya, seramai 15 daripada 26 ketua cabang di Sabah dan Labuan dijangka menghadiri pertemuan itu dan jumlah tersebut sudah cukup untuk menyingkirkan Liew.

Kedudukan pengerusi PKR negeri dibuat berdasarkan pelantikan oleh Presiden (Anwar Ibrahim) yang akan mengambil kira pandangan kesemua 26 ketua cabang sebelum mencapai sebarang keputusan.

Bagaimanapun presiden parti masih boleh memilih pengerusi negeri berdasarkan keputusannya jika dirasakan sesuai, sama ada dengan sokongan atau tanpa sokongan majoriti daripada kesemua ketua cabang.

Rahimah enggan mengulas sama ada pertemuan itu tidak melibatkan Liew, tetapi menyatakan bahawa kesemua 15 ketua cabang “tidak mahu beliau” yang dianggap sebagai “liabiliti kepada PKR”.

Rahimah merupakan kem Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, dan mereka sudah memilih Ketua Cabang Tawau Kong Hon Ming sebagai calon untuk menggantikan Liew.

Antara pemimpin yang dijangka hadir esok adalah Ketua Cabang Sepanggar Roland Chia dan Ketua Cabang Ranau Jonathan Yassin.

Sabah yang memiliki ahli PKR kedua terbesar, kebanyakannya menyokong Rafizi Ramli yang tewas kepada Azmin dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Ramai ahli dalam kem Rafizi kurang gembira dengan kepimpinan Liew. Beliau tidak mengadakan pertemuan ketua cabang untuk memilih pengerusi parti negeri walaupun pemilihan PKR berakhir kira-kira dua minggu lalu.

Seorang ketua cabang dari kem Rafizi mengesahkan Liew tidak mampu mengekalkan jawatannya.

Beliau gagal menangani isu yang menjejaskan sokongan akar umbi, kata ketua cabang tersebut yang enggan dikenali.

“Banyak perkara mereka bangkitkan kepada saya. Antaranya Liew tidak menyentuh atau menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi. 

“Ekoran itu, beberapa ketua cabang tidak gembira dan mempertimbangkan untuk menyingkirkan beliau,” kata sumber itu. – 23 November, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen