Kerajaan Kanada salur AS$453 juta bantu industri akhbar


Kerajaan Kanada Morneau mengumumkan pakej bantuan C$595 juta untuk  tempoh lima tahun bagi mengukuhkan sektor media, termasuk langkah memudahkan usaha mengumpul dana bagi pertubuhan berita bukan mencari untung selain pelepasan cukai bagi membiayai penerbitan kandungan asal. – Gambar AFP, 23 November, 2018.

INDUSTRI akhbar Kanada mendapat suntikan dana C$600 juta (AS$453 juta) daripada Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai insentif dan kredit cukai.

Langkah membantu sektor media cetak Kanada yang sebelum ini berkembang pesat, dilakukan ketika pihak industri menjangkakan kadar kegagalan dan penutupan entiti media  cetak semakin tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, pakej kewangan terbaru yang diumumkan Menteri Kewangan, Bill Morneau ketika membentangkan laporan ekonomi musim luruh, dilihat dapat memperlahankan  kadar kejatuhan atau sekurang-kurangnya menghulurkan talian hayat kepada industri itu.

Morneau mengumumkan pakej bantuan C$595 juta untuk  tempoh lima tahun bagi mengukuhkan sektor media, termasuk langkah memudahkan usaha mengumpul dana bagi pertubuhan berita bukan mencari untung selain pelepasan cukai bagi membiayai penerbitan kandungan asal.

Kerajaan turut mencadangkan kredit cukai 15 peratus untuk rakyat Kanada apabila mereka melanggan berita dalam talian daripada syarikat media.

 Kerajaan Persekutuan Liberal pimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau yang melawat Asia baru-baru ini, turut menjamin mereka tidak akan campur tangan terhadap kebebasan media menerusi langkah itu.

“Kami mahu membantu industri media Kanada yang bergelut dengan tabiat baru pengguna selain pengiklan yang beralih ke arah platform digital asing,” kata Morneau di Parlimen  sambil menegaskan, matlamat Ottawa adalah untuk terus mendokong peranan penting media dalam demokrasi.

Sebuah panel berita bebas baharu turut ditubuhkan bagi menentukan bidang kewartawanan dan media yang layak menerima pakej bantuan itu.

Menurut Pengerusi Berita Media Kanada Bob Cox, yang memantau perkembangan itu berkata, cabaran terpaksa dilalui termasuk penurunan edaran dan hasil iklan di samping industi yang semakin suram serta terpaksa mencari ikhtiar untuk terus bertahan. 

Dalam temu bual dengan Bernama sebelum ini, Cox berkata itu adalah realiti industri akhbar Kanada, lebih banyak ditutup dan tidak mampu bertahan. 

Kerajaan Persekutuan menganggarkan dalam tempoh 12 tahun lalu, terdapat 10,000 kehilangan pekerjaan dalam industri media. 

Cox, merangkap penerbit Winnipeg Free Press di wilayah Prairie, Manitoba berkata, kebanyakan syarikat akhbar dibebani hutang dan bakal mencetuskan keadaan di mana banyak akhbar terpaksa menghentikan pengeluaran di seluruh Kanada.

Pakej berkenaan membolehkan pembiayaan disalurkan secara beransur-ansur, bermula dengan perbelanjaan $45 juta tahun depan sebelum meningkat sehingga $ 165 juta setahun menjelang 2023.

CWA Kanada, satu-satunya kesatuan media yang mewakili 6,000 pekerja, menyambut baik pakej itu dan berharap ia dapat memulihkan sektor pekerjaan dalam industri berkaitan.

Pakej termasuk termasuk pelepasan cukai itu sebagai menyokong industri media yang berasaskan keuntungan atau bukan, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Pemimpin Parti Demokrat Nasional, Jagmeet Singh berkata sekarang kerajaan memperuntukkan sebahagian dananya untuk membeli iklan di Google dan Facebook, adalah lebih baik jika dana awam itu dibelanjakan untuk media tempatan Kanada. 

Dengan rangsangan kewangan terkini itu, Kerajaan Persekutuan membenarkan organisasi media bukan berasaskan keuntungan menghasilkan berita menarik yang pelbagai untuk memancing minat pembaca .

Ketua Pegawai Eksekutif Berita Media Kanada, John Hinds berkata cabaran  utama industri media negara ialah ekonomi.

Menurutnya, cabaran dihadapi adalah bagaimana menguruskan dan pada masa sama menumpukan kepada kemunculan pelbagai media dalam talian yang baharu. – Bernama, 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen