Bekas pengerusi Nissan tak lapor pendapatan hampir RM300 juta


Carlos Ghosn adalah pengerusi Nissan-Renault-Mitsubishi, skandal cukainya menggemparkan dunia automobil dunia. – Gambar EPA, 23 November, 2018.

Bekas pengerusi Nisan Carlos Ghosn dikatakan membuat laporan cukai pendapatan kurang daripada jumlah sebenar mencecah AS$71 juta (RM298 juta)- lebih banyak berbanding anggaran awal- lapor media Jepun hari ini.

Taikun kelahiran Brazil itu dilaporkan akan berdepan pertuduhan baharu daripada pendakwa raya selepas dipecat selaku pengerusi Nissan semalam dalam tragedi kejatuhan yang menggemparkan dunia korporat.

Pendakwa raya menahan Ghosn pada Isnin, menuduhnya dan eksekutif Grey Kelly melaporkan jumlah pendapatan yang kurang daripada yang sebenar sekitar ¥5 billion (RM186 juta) antara Jun 2011 hingga Jun 2015.

Tetapi, Ghosn dipercayai membuat laporan tidak tepat mengenai pendapatannya berjumlah ¥3 billion selama tiga tahun, lapor akhbar harian Asahi Shimbun dan Nikkei.

Pendakwa raya kini merancang untuk menahannya semula atas pertuduhan laporan pendapatan tidak tepat mencecah ¥8 billion (AS$71 million) sejak Jun 2011, lapor Asahi.

Bagaimanapun, pertuduhan baharu itu masih belum dapat disahkan.

Menurut undang-undang Jepun, suspek dalam penjara boleh berdepan waran tangkap tambahan yang boleh menyebabkan hukuman lebih berat.

Ghosn disyaki gagal melaporkan keuntungan sebanyak ¥4 bilion dalam saham- kaedah yang digunakan syarikat untuk memberikan bonus kepada kakitangannya, lapor Nikkei pula.

Selain itu, sebuah lagi media, Kyodo, melaporkan yang Nissan membayar AS$100,000 setahun sejak 2002 kepada saudara perempuan Ghosn yang tidak mempunyai rekod kerja dengan kumpulan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Shin Kukimoto berkata kes Ghosn adalah “salah sebuah kes paling serius” di bawah Akta Instrumen Kewangan Jepun dan Ghosn berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Penyingkirannya adalah tragedi kepada jenama besar industri automotive Jepun itu yang membentuk kerjasama dengan Renault dari Perancis dan Mitsubishi Motors.

Kementerian Kewangan Jepun dan Perancis menegaskan “sokongan kuat kepada” kerjasama itu pada pertemuan di Paris semalam.

Lembaga Pengarah Renault sehingga sekarang masih menyokong Ghosn- menamakan Timbalannya Thierry Bollore untuk memangku tugas harian syarikat.

Manakala, Lembaga Pengarah Mitsubishi Motors pula dilaporkan akan bertemu Isnin depan untuk berbincang masa depan mereka dengan Ghosn. – AFP, 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen