Laporan polis lama terhadap pengarang Sarawak Report masih disiasat


Alfian Z.M. Tahir

Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown terkejut apabila dimaklumkan tiga laporan polis terhadapnya yang dibuat pada era Barisan Nasional masih disiasat polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2018.

POLIS masih menyiasat tiga laporan terhadapnya yang dibuat ketika pentadbiran Barisan Nasional, kata Pengarang Sarawak Report Claire Rewcastle-Brown.

Laporan itu mendakwa beliau menyebarkan berita palsu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), katanya kepada wartawan selepas disoal siasat polis untuk kes berlainan di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya terkejut kerana saya ingat ia sudah ditutup,” katanya.

“Saya datang ke Bukit Aman secara sukarela selepas dimaklumkan oleh ramai orang yang saya jumpa di Malaysia yang saya perlu disoal polis.

“Saya hubungi polis dan bersetuju untuk jumpa mereka. Bagaimanapun, saya terkejut bila mengetahui ada tiga lagi kes terhadap saya.”

Tiga laporan itu dibuat terhadapnya pada 2015, 2016 dan 2018.

“Ada tiga kes berasingan yang masih belum ditutup untuk tuduhan menyebarkan berita palsu. Mereka mahu saya kembali dan beri tiga keterangan berasingan,” katanya lagi.

Rewcastle-Brown dianggap “musuh negara” sebelum kejayaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau dihendaki pihak berkuasa Malaysia kerana laporannya berkaitan skandal 1MDB.

Beberapa laporan polis dibuat ke atasnya dan terdapat waran tangkap dikeluarkan sekiranya beliau datang ke Malaysia.

Selepas 9 Mei, bagaimanapun, wartawan warga Britain kelahiran Sarawak itu beberapa kali keluar masuk Malaysia atas beberapa tujuan.

Beliau juga melancarkan buku mengenai skandal 1MDB di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen