CLARE Rewcastle-Brown berkata beliau tidak berniat memburukkan reputasi Sultanah Terengganu menerusi penerbitan buku skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengasas dan editor Sarawak Report itu berkata menerusi penulisannya dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’, beliau menyatakan dengan jelas bahawa Sultanah Nur Zahirah tidak terlibat dalam skandal itu.
“Saya cuba menjelaskan dan saya menyatakan dalam buku itu bahawa sultanah terlibat dan 1MDB. Dalam laporan yang dibuat ke atas saya, ia mengatakan saya mendakwa permaisuri Sultan Terengganu merupakan TIA (Terengganu Investment Authority).
“Ini adalah satu salah faham. Laporan polis mengatakan saya mendakwa bahawa sultanah terlibat. Saya tidak pernah berkata demikian dalam buku saya.
“Malah dalam buku itu jelas mengatakan bahawa TIA tidak lagi wujud sebelum skandal itu bermula dan ia ditukar kepada 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman.
Beliau berkata, dalam buku itu, beliau turut menyatakan salah satu sebab TIA tidak lagi wujud disebabkan sultan yang merupakan pengerusi TIA, bimbang terhadap cara ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, mengendalikan dana tersebut.
Awal minggu ini, sultanah memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown kerana memfitnah baginda menerusi buku 1MDB itu.
Sultanah menamakan Rewcastle-Brown, penerbit buku itu Gerakbudaya Enterprise dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan.
Awal hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim mengesahkan polis mengambil keterangan daripada Rewcastle-Brown. – 23 November, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen