SYARIKAT media terbesar negara, Media Prima menawarkan Skim Pemisahan Bersama (MSS) yang dijangka memberi kesan kepada hampir 300 orang kakitangannya daripada tiga stesyen televisyen bagi menampung kerugian dialami.
Tawaran syarikat tersebut yang mengendalikan empat siaran televisyen percuma dan tiga penerbitan adalah susulan skim sebelum ini bagi mengurangkan jumlah pekerjanya. Sebelum ini, syarikat itu menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Cuti Kerjaya (CBL) kepada pekerjanya.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang pengurusan kanan Media Prima pada malam semalam memberitahu 1,100 kakitangan tiga stesyen televisyen -NTV7, 8TV dan TV3- yang mereka ditawarkan MSS.
“Menurut taklimat, MSS akan dilakukan dalam dua langkah. Pertama akan bermula minggu depan dan yang kedua akan bermula Jun tahun depan. Sasarannya adalah untuk mengurangkan jumlah pekerja daripada 1,100 kepada sekitar 800 orang,” kata sumber.
Sumber menambah yang daripada bahagian pengarang, pengurusan merancang melepaskan 70 orang pekerja, bermula dengan 24 orang pada fasa pertama minggu depan dan 46 orang lagi pada Jun tahun depan.
Sumber turut mendedahkan yang ketua jabatan sudah menyediakan senarai pekerja yang akan dibuang. Mereka akan diberikan pampasan sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan.
Sumber juga menambah yang pengurusan juga akan mula menjual sebahagian aset syarikat untuk membayar hutang.
Tahun lepas, Media Prima menawarkan CBL kepada pekerjanya, diberikan pilihan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan atau bekerja separuh bulan dengan separuh gaji.
Media Prima adalah syarikat media terbesar negara yang memiliki TV3, NTV7, 8TV, New Straits Times dan lain-lain. Selain aset media cetak dan elektronik, mereka turut mempunyai 12 laman sesawang di bawah Rev Asia yang dibelinya dengan harga RM150 juta.
Pada tahun kewangan 2017, kerugian syarikat dilaporkan sebanyak RM669 juta.
Semalam, dalam laporannya kepada Bursa Malaysia, Media Prima melaporkan kerugian RM39.71 juta untuk tempoh Julai hingga September tahun ini, berbanding keuntungan yang dicatat pada suku kedua tahun ini sebanyak RM31.95 juta. – 23 November, 2018.
Komen