Ratusan berkumpul di Sabah tolak ICERD


Jason Santos

LEBIH 200 orang berkumpul masjid negeri di Sembulan, Kota Kinabalu hari ini menentang usaha kerajaan mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Hadirin yang hadir berkata, mereka akan menyingkirkan politikus terlibat sekiranya ratifikasi konvensyen antarabangsa untuk menghalang diskriminasi kaum itu diteruskan.

“Kita tak pernah ada perbalahan kaum dan kerana itu kita tak perlu ratifikasi ICERD,” kata jurucakap Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Kamran Muhamad Bahron.

Antara kumpulan yang menyertai himpunan di masjid negeri selepas solat Jumaat itu ialah Pemuda dan Puteri Umno, PAS dan Gamis.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Umno Sabah Aziz Abdul Julkarnain.

Penentangan terhadap ICERD memuncak selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengumumkan hasrat Putrajaya meratifikasi konvensyen PBB itu.

Aziz berkata masanya belum tiba untuk Malaysia terutama di Sabah untuk meratifikasi konvensyen tersebut kerana jurang bandar dan luar bandar masih wujud.

Katanya, keadilan sosial bukan hanya bermaksud memberikan hak saksama terhadap semua kaum, tetapi juga perlindungan kepada mereka yang ketinggalan.

Misalnya di Sabah, Bumiputera luar bandar masih jauh ketinggalan dalam aspek ekonomi, sedangkan masyarakat Cina menguasai perniagaan di kawasan bandar.

“Jujurnya, kebanyakan tanah di bandar adalah milik orang Cina, tetapi Bumiputera tak diskriminasi mereka.

“Sebaliknya, pasaran bebas membenarkan semua kaum untuk kumpul kekayaan, kerana itu, mengapa perlu kita ratifikasi konvensyen ini?” soalnya.

Aziz menambah yang tidak wujud keperluan meratifikasi ICERD di negara ini yang sudah aman dan Waytha hanya mahu mencetuskan ketegangan kaum di Malaysia. – 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen