INDONESIA hari ini menghentikan proses sukar mengenal pasti mangsa nahas Lion Air yang ditemui dan laporan awal punca nahas yang membunuh 189 orang itu dijangka dikeluarkan minggu depan.
Pesawat Boeing 737 Max- salah sebuah pesawat komersial terbaru dan paling canggih di dunia- terhempas di Laut Jawa pada 29 Oktober lalu tidak lama selepas berlepas dari Jakarta menuju Pangkal Pinang, membunuh semua anak kapal dan penumpang.
Sejak itu, penyiasat bertungkus lumus menjalankan ujian DNA ke atas bahagian mayat yang ditemui. Setakat hari ini, 125 orang sudah dikenal pasti selepas ujian dilakukan ke atas 200 beg mengandungi cebisan mayat, kata Arthur Tampi, ketua pusat perubatan polis nasional.
“Kami sudah mengenal pasti 89 lelaki dan 36 wanita, termasuklah dua warga asing, warga Itali dan India yang merupakan kapten pesawat, kata Tampi kepada wartawan di Jakarta.
Proses kenal pasti dihentikan kerana semua cebisan mayat sudah diuji, tambahnya.
Lion Air dalam kenyataan berkata akan membayar pampasan lebih kurang AS$100,000 untuk setiap mangsa.
Rakaman data penerbangan pesawat sudah ditemui tetapi penyelam masih berusaha mencari perakam suara kokpit.
Laporan rasmi pertama punca nahas akan dikeluarkan pada Rabu depan.
Setakat ini, penyiasat percaya pesawat malang itu berdepan masalah dengan petunjuk kelajuan udara dan pengesan sudut serangan (AOA) menyebabkan syarikat Boeing mengeluarkan notis khas arahan tindakan sekiranya masalah sama berlaku di pesawat lain.
Pengesan AOA menyediakan data tentang sudut angina melalui sayap pesawat dan membolehkan juruterbang mengetaui turun naik pesawat. Maklumat itu mustahak bagi menghalang pesawat daripada menurun.
Minggu lepas, kesatuan juruterbang komersial AS, APA, berkata syarikat dan juruterbang masih belum dimaklumkan oleh Boeing mengenai perubahan dalam sistem kawalan pesawat.
Boeing berdepan kecaman selepas wujud kemungkinan terdapat masalah teknikal pada pesawat jenis 737 yang baru dikeluarkan tahun lepas.
Nahas Lion Air juga membangkitkan kebimbangan tentang rekod penerbangan awam Indonesia yang lemah, yang baru sahaja dibenarkan memasuki ruang udara Eropah dan AS selepas berdekad lamanya pesawat komersial negara itu dihalang masuk. – AFP, 23 November, 2018.
Komen