China sahkan kes pertama wabak demam babi Afrika


China hari ini mengesahkan kes pertama wabak demam babi Afrika di Beijing, satu penyakit yang tersebar ke seluruh negara walaupun usaha membendungnya sudah diambil. – Gambar fail EPA, 23 November, 2018.

KEMENTERIAN Pertanian China hari ini mengesahkan kes pertama wabak demam babi Afrika di Beijing, satu penyakit yang tersebar ke seluruh negara walaupun usaha membendungnya sudah diambil.

Penyakit itu ditemui di dua ladang di daerah Fangshan di barat daya Beijing di mana 86 daripada lebih 1,700 babi mati, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menutup ladang bagi membolehkan proses pembersihan dan pengasingan dibuat, sementara babi hidup dan produk daging babi dilarang dibawa keluar dari kawasan itu.

Pegawai kanan kementerian berkata 600,000 bayi dihapuskan sejak wabak itu dikesan kali pertama pada Ogos lalu di negara pengeluar babi terbesar dunia itu.

Ia kali pertama dikesan di wilayah Liaoning tetapi kini tersebar ke 20 wilayah lain dengan 73 kes dilaporkan.

“Seperti yang dapat dilihat sekarang, situasi sangat teruk,” kata timbalan pengarah biro perubatan veterinar Feng Zhongwu.

Kementerian turut menyalahkan kaedah perladangan, kurangnya kebersihan dan keperluan menghantar babi ke tempat yang jauh untuk dijual.

Pada awal September, media kerajaan berkata wabak itu ditemui di lima wilayah saja, dengan kementerian berkata keadaan terkawal.

Tetapi ia tersebar ke daerah pengeluar daging babi walaupun usaha membendungnya diambil, termasuk menghapuskan lebih setengah juta babi dan melarang penghantaran babi ke kawasan terjejas.

Wabak itu menyebabkan harga daging babi di China naik.

Wabak itu tidak berbahaya kepada manusia tetapi ia menyebabkan demam berdarah dalam kalangan babi dan babi hutan. – AFP, 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen