Bekas pengarah FBI beri keterangan depan Kongres


Bekas pengarah FBI James Comey dan bekas peguam negara Loretta Lynch dipanggil memberi keterangan di hadapan Kongres bulan depan. – Gambar EPA, 23 November, 2018.

BEKAS pengarah FBI James Comey dan bekas peguam negara Loretta Lynch dipanggil memberi keterangan di hadapan Kongres bulan depan sebelum Republican melepaskan kawalan terhadap Dewan itu.

Comey mengesahkan menerima sepina daripada Jawatankuasa Kehakiman Dewan tetapi berkata akan menolak jika perlu menjawab soalan secara tertutup.

“Saya memilih untuk menjawab semua soalan secara terbuka,” katanya di Twitter.

“Tetapi saya tidak mahu tertutup kerana saya tahu taktik mereka yang membocorkan maklumat terpilih saja. Mari kita adakan perbicaraan dan jemput semua orang.”

Lynch, yang berkhidmat di bawah bekas presiden Barack Obama, belum memberi kenyataan, tetapi salinan sepina itu menunjukkan beliau dipanggil beri keterangan pada 4 Disember. Comey diarahkan tampil di depan jawatankuasa itu pada 3 Disember.

Presiden Donald Trump berulang kali mendakwa Comey dan Lynch melindungi Hillary Clinton dalam siasatan terhadapnya menggunakan server peribadi untuk e-mel ketika bertugas sebagai setiausaha negara. – AFP, 23 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen