KIRA-KIRA 50 pembalak dipercayai menjadi mangsa penculikan kumpulan militan Boko Haram di timur laut Nigeria dekat sempadan Cameroon.
Menurut militan awam serta penduduk setempat, semua tebusan berasal dari kem perlindungan dan diculik oleh kumpulan yang menyokong Abubakar Shekau itu ketika sedang mengutip kayu pada Sabtu lalu.
“Semua lelaki itu dikumpulkan sebelum dibawa pergi oleh pemberontak Boko Haram dan tiada maklumat mengenai mereka diketahui sehingga kini.
“Dua pembalak berjaya melepaskan diri dan menceritakan kejadian itu sebaik tiba di kampung,” kata ketua militan, Umar Kachalla.
Kachalla berkata beliau tidak tahu jumlah tepat pembalak yang diculik namun kumpulan seperti itu biasanya disertai 50 orang pada satu-satu masa.
Penculikan berlaku di perkampungan Bulakesa, 25km dari pekan Gamburu di Borno.
Kebangkitan kumpulan militan Boko Haram di rantau itu meragut ribuan nyawa dan menyebabkan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di Nigeria.
Pada 2014, Boko Haram dalam satu insiden yang menggemparkan dunia telah menculik 276 kanak-kanak dan remaja perempuan berusia antara 12 hingga 17 tahun di sebuah sekolah di pekan terpencil Chibok, juga di Borno. – AFP, 23 November, 2018.
Komen