PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman semalam memulakan lawatan ke negara serantaunya dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebagai negara pertama, dalam lawatan rasminya ke luar negara yang pertama sejak pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi yang meletakkan negara itu dalam krisis.
Putera Mohammed akan melawat beberapa negara Arab atas permintaan bapanya, Raja Salman, menurut istana dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Agensi Media Arab Saudi, tanpa menamakan negara yang bakal dilawati.
Putera Mahkota Abu Dhabi Mohammed Zayed menyambut kedatangannya ke UAE, sekutu rapat dalam gabungan diketuai Arab Saudi menentang pemberontak Huthi di Yaman, menurut agensi media WAM.
Kedua-dua pemimpin itu membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa serta cabaran dan ancaman dihadapi negara Timur Tengah, kata WAM.
Putera itu juga dijadualkan ke ibu kota Tunisia pada Selasa.
Lawatan itu diadakan sebelum putera mahkota dijangka menghadiri sidang kemuncak G20 di Argentina minggu depan, ketika Riyadh berdepan tekanan antarabangsa berhubung pembunuhan kejam Khashoggi yang juga kolumnis di Washington Post.
Beliau dibunuh di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober. Mangsa dikatakan dibunuh dan tubuhnya dilenyapkan dalam satu operasi jahat, tetapi analisis CIA yang didedahkan oleh media AS menuding jari ke arah Putera Mohammed.
Presiden AS Donald Trump pada Selasa berkata laporan CIA menunjukkan bahawa putera mahkota itu membenarkan pembunuhan itu berlaku. – AFP, 23 November, 2018.
Komen