Kritikan pemandulan paksa ke atas wanita Orang Asli Kanada makin lantang 


Orang Asli Cree Kanada turut berdepan pencabulan hak asasi manusia yang begitu dahsyat di negara itu.– Gambar EPA , 22 November, 2018

KETIKA isu pemandulan paksa ke atas wanita Orang Asli terus dibangkitkan di beberapa bahagian negara Kanada, kritikan keras berhubung pencabulan hak asasi manusia yang begitu dahsyat semakin lantang disuarakan dalam kalangan anggota parlimen, peguam, aktivis dan para pegawai hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kajian menunjukkan bahawa amalan menjijikkan itu, yang memujuk wanita Orang Asli untuk melakukan pemandulan, masih berlaku di beberapa wilayah termasuk Alberta, Saskatchewan, Manitoba dan Ontario.

Jane Philpott, Menteri Perkhidmatan Orang Asli berhasrat menghentikan amalan itu dan berkata “Pemandulan paksa terhadap sejumlah wanita Orang Asli oleh golongan profesional perubatan adalah satu pencabulan hak asasi manusia yang serius. Pesakit Orang Asli mungkin berdepan halangan sistematik dalam mengakses perkhidmatan perubatan termasuk diskriminasi dan perkauman.” 

“Ini bukanlah sesuatu yang boleh ditangani sendirian oleh mana-mana kerajaan yang memerintah. Kita semua mempunyai peranan yang perlu dimainkan bagi memastikan pesakit Orang Asli menerima penjagaan kesihatan yang berkualiti tanpa prasangka,” kata beliau.

Amnesty International Kanada telah mengesyorkan agar kerajaan persekutuan melantik seorang wakil khas bagi meneliti kelaziman amalan itu di seluruh dunia.

Seorang jurucakap bagi Perkhidmatan Orang Asli Kanada, William Olscamp, mengulangi kebimbangan menteri berkenaan dan berkata kerajaan benar-benar mahukan wanita Orang Asli menerima perkhidmatan kesihatan yang selamat dari segi budaya, tanpa mengira di mana mereka tinggal.

“Kami komited untuk menjalin usaha sama dengan rakan kongsi bagi memperbaiki piawaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Menurut Olscamp, langkah yang ingin diambil harus bersesuaian dengan kementerian kesihatan di peringkat wilayah kerana perkhidmatan kesihatan adalah disediakan oleh wilayah terbabit.

“Hanya pengamal perubatan seperti pakar obstetrik dan pakar sakit puan boleh mengarahkan prosedur seperti pengikatan tiub, jadi doktor serta mereka yang menyelia profesion itu juga harus terlibat.” 

Perkhidmatan Orang Asli Kanada kini memberi respons kepada beberapa syor yang dibuat pada Februari lepas di Suruhanjaya Antara Amerika berkaitan Hak Asasi Manusia dan ini termasuk bekerjasama dengan rakan kongsi Orang Asli untuk membangunkan risalah serta mengeluarkan panduan berkaitan pilihan kesihatan reproduktif.

Meskipun Kanada berhasrat menghentikan amalan ini, satu saman telah dikemukakan terhadap Saskatoon Health Region tahun lepas oleh dua wanita Orang Asli yang menjadi mangsa pemandulan paksa.

Seorang anggota parlimen Orang Asli dari puak Cree, Romeo Saganash, yang berasal dari Quebec, bercadang membangkitkan isu pemandulan paksa di Dewan Rakyat dan mendesak Ottawa agar meneliti dakwaan mengerikan berkaitan amalan itu di zaman moden ini terhadap wanita Orang Asli.

“Pemandulan paksa melanggar piawaian hak asasi manusia yang seharusnya didokong oleh Kanada. Kita harus amat teliti dalam mentafsir Perkara 2 Konvensyen berkaitan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid yang diterima pakai oleh PBB pada 1948,” kata Saganash.

Menurut Yvonne Boyer, seorang peguam dari puak Metis dan merupakan senator Ontario, prosedur pengikatan tiub yang dilakukan ke atas dua wanita Orang Asli tanpa kerelaan mereka adalah antara amalan “paling kejam” dalam langkah penjagaan kesihatan yang masih berlaku di seluruh Kanada.

Boyer berkata beliau telah dihubungi ramai wanita Orang Asli dari seluruh negara untuk meminta bantuan berhubung perkara ini.

Beliau meminta Senat mengkaji skop isu itu secara nasional.

Turut berkongsi kebimbangan dan lantang menggesa tindakan diambil berhubung perkara itu ialah Ketua Nasional puak First Nations, Perry Bellegarde, yang mendesak agar skop pemandulan paksa diteliti sambil menyifatkan amalan itu sebagai salah, tidak bermoral serta satu pencabulan hak asasi manusia yang melampau.

Bancian pada 2016 menunjukkan bahawa penduduk orang asli Kanada ialah sebanyak 1,673,785 orang atau 4.9 peratus daripada jumlah penduduk negara itu, dengan 977,230 daripada puak First Nations, 587,545 puak Métis dan 65,025 puak Inuit. – Bernama, 22 November, 2018

 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen