MAHKAMAH tentera di timur Libya pada Rabu mendedahkan nama beberapa individu yang terlibat dalam serangan maut Benghazi 2012 yang telah meragut nyawa seorang duta Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita China Xinhua.
Ketua mahkamah tentera, Ali Madi berkata individu itu ialah Ahmed Abu Khattala, seorang pemimpin pengganas yang ditahan di AS; Mokhtar Belmokhtar, seorang rakyat Algeria yang menjadi pemimpin al-Qaeda di wilayah Maghreb; dan pemimpin pengganas Mohammed al-Zahawi yang telah meninggal dunia.
Duta itu, Christopher Stevens, dan tiga lagi pegawai terbunuh dalam serangan ke atas konsulat AS di Benghazi pada 11 September, 2012.
Pada Jun 2014, pasukan khas AS menahan Abu Khattala di Libya dalam satu operasi rahsia.
Madi berkata Abu Khattala turut menjadi dalang di sebalik pembunuhan seorang guru rakyat AS, Ronnie Smith, di Benghazi pada Disember 2013.
Beliau mendesak pihak berkuasa AS “untuk berkomunikasi dengan mahkamah dan bekerjasama untuk menahan pengganas yang menjadi buruan serta bertanggungjawab melakukan pembunuhan itu”. – Bernama, 22 November, 2018.
Komen