Permintaan tinggi, tapi usaha perbaiki BI di luar bandar masih sukar


Sheridan Mahavera

Murid SK Bandar Tasek Kesuma di Beranang mengikuti kelas DLP, antara sekolah luar bandar di Selangor yang melaksanakan program itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2017.

BELAJAR Bahasa Inggeris jadi urusan keluarga bagi ibu bapa di kawasan luar bandar seperti Norsherina Mohd Hashim, selepas kerajaan memperkenalkan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sekolah terpilih sejak tahun lepas.

Tetapi anak kemampuan anak perempuannya Nur Shahira Abdul Aziz untuk memahami dan bercakap dalam bahasa itu berdepan risiko oleh sesuatu yang tidak mampu dikawal gurunya atau kerajaan – persekitaran luar bandar.

Guru Nur Shahira berkata sikap skeptikal yang masih berlaku terhadap bahasa Inggeris di kawasan luar bandar, walaupun pada zaman ini, mengganggu matlamat program itu untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu, terutama di luar bandar.

Walaupun mampu bercakap bahasa Inggeris dengan baik dalam kelas, masih ramai murid DLP enggan menggunakan bahasa itu di luar sekolah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2017.

“Dia yakin bercakap dengan saya dan suami di rumah,” kata Norsherina kepada The Malaysian Insight ketika kunjungan ke SK Bandar Tasek Kesuma di Beranang baru-baru ini.

“Saya dan suami belikan dia kamus dwibahasa supaya kami semua boleh belajar.

“Tetapi bila kami keluar, dia sagat malu menggunakan bahasa Inggeris dan cakap perlahan saja dengan kami,” katanya, satu keadaan yang menunjukkan anaknya masih tidak selesa menggunakan bahasa itu.

Guru BesarSK Bandar Tasek Kesuma Noridah Abdul Aziz berkata masalah sama turut berlaku di bahagian lain di kawasan luar bandar di Selangor.

“Di bandar, cakap bahasa Inggeris itu biasa. Itu sebab murid bandar lebih mudah dapat bahasa itu,” katanya, menambah ibu bapa di bandar lebih kerap menggunakan bahasa itu di rumah.

“Di sekolah kampung, murid masih diusik kerana berbahasa Inggeris. Terutama dalam kalangan budak lelaki, yang nanti akan menyebabkan pergaduhan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tahap bahasa Inggeris murid dalam kelas DLP kami meningkat. Mereka semakin bagus dalam bahasa itu dan menggunakannya dalam kelas. Masalahnya ialah bila mereka keluar kelas.

“Mereka kurang keyakinan untuk menggunakannya. Kebanyakan keluarga di luar bandar hanya guna BM,” katanya.

Dan jika murid tidak berlatih menggunakan bahasa itu dalam kehidupan harian, mereka mungkin hilang penguasaan bahasa berkenaan bila besar nanti.

Permintaan tinggi

Pilihan melaksanakan DLP ialah usaha terbaru kerajaan dalam menangani kemerosotan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia.

Sekolah yang menyertai program itu mengadakan kelas matematik, sains dan rekaan teknikal dalam bahasa Inggeris untuk murid tahun satu, dua dan lima yang terpilih. Di sekolah menengah, kelas DLP diadakan untuk sesetengah pelajar tingkatan satu.

Sebagai contoh, di SK Bandar Tasek Kesuma, hanya satu kohort murid tahun satu, dua dan lima daripada keseluruhan pelajar mengikuti DLP, atau 128 daripada keseluruhan 2,267 murid.

Sembilan kohort lagi kekal menggunakan bahasa Melayu bagi matematik dan sains.

Paradoks pembelajaran DLP di sekolah luar bandar ialah walaupun keadaan persekitaran kurang kondusif, permintaan terhadap program itu dalam kalangan ibu bapa dan sekolah luar bandar agak tinggi dan semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata ketika program itu mula diperkenalkan pada 2016, sekolah luar bandar hanya 27.4% daripada 300 sekolah yang menyertainya di seluruh negara.

Tahun ini, hampir satu pertiga atau 32.5% daripada 1,214 sekolah DLP berada di kawasan luar bandar.

“Tidak tepat untuk mengatakan hanya ibu bapa bandar mahu anak mereka bagus dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya, ia terbalik, permintaan lebih tinggi di kawasan luar bandar,” kata Chong.

Perubahan budaya

Walaupun permintaan di kawasan luar bandar tinggi, tetapi ia tidak diterjemahkan ke dalam persekitaran yang lebih menyokong, sedangkan jelas DLP memberi manfaat kepada murid.

Contohnya di SK Bandar Tasek Kesuma, guru berkata terdapat peningkatan yang jelas dalam penguasaan bahasa itu bagi murid dalam kelas DLP.

Seorang murid SK Bandar Tasek Kesuma menunjukkan tugasannya kepada rakan dalam kelas DLP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2017.

Malah di peringkat kebangsaan pun, Chong berkta kajian pada 2016 menunjukkan 79% murid kelas DLP mampu mencapai markah tinggi dalam ujian penguasaan bahasa Inggeris, berbanding 53% murid bukan DLP.

Noridah berkata cabarannya ialah untuk mengekalkan penguasaan itu supaya murid luar bandar boleh menggunakan bahasa itu dalam kehidupan seharian mereka.

Strategi Noridah ialah dengan memastikan seluruh sekolah lebih banyak bercakap dalam bahasa Inggeris. Murid DLP sekolah itu perlu berbahasa Inggeris walaupun di luar kelas khas mereka.

Ini bermakna mereka bukan saja perlu bercakap bahasa Inggeris dengan guru DLP, tetapi guru sejarah mereka, jurulatih, rakan, guru agama dan staf kantin.

Untuk memastikan keadaan itu dapat dilaksanakan, semua kakitangan sekolah dan 128 murid DLP memakai lencana “Speak English With Me”.

“Kami perlu menjadikan bercakap bahasa Inggeris sebagai satu budaya di luar kelas. Kalau tidak murid ini tidak akan ada keyakinan menggunakannya di luar kelas.

“Kami mahu DLP bukan saja bermanfaat kepada kumpulan kecil, tetapi keseluruhan sekolah.”

Kerana jika budaya dan persekitaran terhadap bahasa Inggeris di luar kelas di luar bandar masih tidak berubah, DLP tidak akan mampu menepati matlamatnya. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen