Tak payah menteri ajak ceramah kalau universiti bebas, kata Isham Rais


Nabihah Hamid

Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata universiti awam masih lagi terkongkong walaupun kerajaan Barisan Nasional sudah tumbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

UNIVERSITI awam masih lagi terkongkong walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah tumbang, kata aktivis politik Hishamuddin Rais, mengulas pelawaan Menteri Pendidikan Maszlee Malik kepadanya untuk menjelajah berceramah di universiti awam.

Hishamuddin berkata pelawaan Maszlee itu hanya mengesahkan bahawa universiti awam masih belum bebas sehingga menteri terpaksa buat jemputan seperti itu.

“Sebenarnya pelawaan ini tidak harus berlaku jika universiti itu sebuah lembaga yang memiliki kebebasan. Mereka akan berfikir, berbincang dan berdebat untuk mengumpul ilmu pengetahuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Tapi kerana keadaan universiti semenjak ada pindaan (ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti) 1974, keintelektualan fikrah di universiti semakin bonsai (terbantut), justeru perlunya seorang menteri mengeluarkan satu pelawaan demikian,” katanya.

Maszlee semalam mempelawa Hishamuddin menjelajah berceramah di universiti awam, sehari selepas aktivis itu disekat daripada berpidato di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada malam Rabu.

Menteri itu berkata universiti tempat wacana terbuka dan tiada siapa wajar disekat daripada bersuara.

“Saya akan minta Hishamuddin untuk mengadakan jelajah di universiti awam dan mereka (pentadbir universiti) seharusnya memberikan beliau ruang,” katanya.

Hishamuddin bagaimanapun berkata, isunya sekarang bukan soal beliau diajak oleh menteri atau tidak.

“Masalahnya bukan individu bernama Isham dilarang (berceramah di universiti).

“Masalahnya ialah perubahan struktural dan dasar pembelajaran serta autonomi (universiti),” kata bekas aktivis pelajar dekad 1970-an itu.

Selasa lalu, UKM membatalkan majlis diskusi politik anjuran aktivis pelajarnya atas dakwaan penganjur tidak memohon kebenaran pihak pentadbir.

Program yang diberi nama Sekolah Malam itu dijadual membincangkan tajuk “Reformasi Struktural: Mahathir vs Anwar lagi?”.

Jurucakap penganjur, Mohamad Azan Safar mengaku tidak meminta kebenaran secara rasmi daripada pihak pentadbir tetapi program sama sudah berlangsung dua kali tahun ini tanpa ada sebarang masalah. – 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen