83 maut akibat kebakaran di California


Pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi hujan lebat pada minggu ini, yang dijangka dapat membantu memadamkan api di hutan California tetapi kemungkinan berlaku banjir kilat. – Gambar EPA, 22 November, 2018.

JUMLAH kematian akibat kebakaran hutan di utara California meningkat 83 orang semalam selepas anggota penyelamat menemui dua lagi rangka dalam bangunan yang rentung, kata pihak berkuasa.

Angka orang hilang dalam kebakaran paling teruk dalam sejarah negeri itu, berkurangan daripada 870 kepada 563.

Ia berkurangan susulan kekeliruan dalam pencarian mayat di bandar Paradise, yang terjejas teruk akibat kebakaran.

Tiga lagi maut dalam kebakaran besar yang kedua melanda Malibu, di selatan California.

Di utara, kebakaran berlaku seluas 153,000 ekar dan memusnahkan lebih 13,500 rumah. Ia bermula pada 8 November dan kini 85% berjaya dibendung.

Anggota penyelamat bersedia berdepan dengan ramalan hujan lebat pada minggu ini, yang dijangka dapat membantu memadamkan api tetapi kemungkinan berlaku banjir kilat boleh menyebabkan mayat yang belum ditemui dihanyutkan.

Hujan mulai turun di kawasan terbakar pada malam tadi.

Pihak berkuasa berkata semua anggota penyelamat tidak akan bercuti esok untuk sambutan hari kesyukuran. – AFP, 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen