5 pelajar di China maut, 18 cedera dirempuh kereta


Rakam layar daripada rakaman video yang belum disahkan dikatakan insiden kemalangan ngeri membabitkan murid sekolah rendah di China. – Gambar Weibo, 22 November, 2018.

SEBUAH kereta merempuh sekumpulan pelajar yang sedang melintas jalan di depan sekolah rendah di timur laut China hari ini, mengakibatkan lima orang maut dan mencederakan 18 yang lain, lapor media negara itu.

Polis menahan pemandu dan sedang menyiasat punca kejadian, lapor penyiar rasmi CCTV di akaun media sosial Weibo.

Sebuah rakaman video yang tidak disahkan tular di media sosial menunjukkan kereta masuk ke lorong yang salah dan terbabas ke arah dereta murid, menyebabkan beberapa murid tercampak ke seberang jalan.

Rakaman lain menunjukkan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak kecil terbaring tidak sedarkan diri dan berdarah di jalan.

Mangsa kemalangan sedang menjalani rawatan, menurut CCTV. Kejadian berlaku kira-kira tengah hari.

Kemalangan kereta ngeri adalah perkara biasa di China, walaupun pihak berkuasa pengangkutan berusaha untuk menguatkuasakan peraturan keselamatan.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya 13 orang maut ketika sebuah bas terjunam dari jambatan di wilayah Chongqing, selepas pemandu itu bertengkar dengan seorang penumpang.

Pada September, 11 orang mati ketika sebuah kereta merempuh orang ramai di dataran awam di pusat bandar Hengdong, wilayah Hengdong.

Pada Februari, van terbakar merempuh ke pejalan kaki di Shanghai, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang cedera. – AFP, 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen