PROTES anjuran bersama Umno dan PAS mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember depan boleh diteruskan, kata Hanipa Maidin.
“8 Disember boleh diteruskan dan saya berharap anda akan memprotes dengan teraturs,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kepada Tajudin Rahman (Pasir Salak-BN) dalam Parlimen hari ini.
“Kami tiada masalah dengan protes tersebut kerana demokrasi bertolak ansur dengan orang macam Pasir Salak (Tajudin). Tetapi, tolong guna kebebasan demokratik dengan bertanggungjawab,” kata Hanipa.
“Proteslah yang anda suka selagi mana ia dilakukan dengan bertanggungjawab dan hujah yang baik.”
Hanipa menjawab soalan Larry Sng mengenai usaha kerajaan bagi memastikan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Beliau memberitahu Parlimen yang ruang demokratik di Malaysia sudah dibuka sejak Pakatan Harapan berkuasa selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu sebelum Tajudin mencelah.
“Kebebasan sejak Pakatan ambil alih sangat jelas. Mereka yang tak bersetuju dengan dasar kerajaan menyuarakan pandangan mereka dengan bebas di mana-mana,” kata Hanipa.
Umno dan PAS akan mengadakan perhimpunan pada 8 Disember depan untuk membantah rancangan Malaysia meratifikasikan ICERD. – 22 November, 2018.
Komen