Najib akui hubungi Anwar malam 9 Mei


Zaim Ibrahim

Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan beliau berusaha memujuk wakil rakyat Pakatan Harapan menyertai Barisan Nasional supaya parti itu terus berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018

NAJIB Razak mengakui beliau beliau mengubungi Anwar Ibrahim pada malam 9 Mei sewaktu ketua umum Pakatan Harapan itu masih ditahan di penjara Sungai Buloh.

Tanpa menjelaskan menjelaskan intipati perbualan tersebut, Najib juga berkata beliau pernah beberapa kali berhubung dengan Anwar secara peribadi. 

“Ya, ada (menghubungi Anwar pada malam PRU14). Selama ini pun, memang ada berhubung dengan beliau. Bertanya khabar, peribadi, dan sebagainya,” kata Najib.

Dalam wawancara bersama seorang pengarang Sinar Harian itu, Najib menafikan beliau berusaha untuk memujuk wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menyertai Barisan Nasional (BN) supaya parti itu terus berkuasa.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga tidak mengadakan sebarang mesyuarat pada malam itu untuk mengisytiharkan darurat, katanya lagi.

“Saya menafikan kami ada berbincang untuk curi atau beli wakil rakyat PH untuk menyeberang (menyertai BN) termasuk juga untuk bersidang khas dengan MKN untuk isytihar darurat.

“Itu satu tuduhan yang tidak benar, tidak ada persidangan MKN,” tegasnya. 

Najib mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa ahli Parlimen PH cuba dipengaruhi BN untuk menyertai parti itu supaya dapat terus kekal sebagai kerajaan.

Ini menyebabkan usaha pembentukan kerajaan PH tertangguh, kata perdana menteri itu dalam satu wawancara dengan majalah sosiopolitik serantau, Mekong Review.

Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 10 Mei selepas dan seterusnya mengumumkan pembetukan Kabinet keesokan harinya.

Anwar sudahpun terpilih sebagai ahli Parlimen Port Dickson dan dijangka akan menggantikan Dr Mahathir sebagai pendana menteri. – 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen