MAHKAMAH Persekutuan menangguhkan keputusan berhubung rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menentukan sama ada bayi luar nikah Islam boleh berbinkan nama bapa dan bukannya “Abdullah”.
Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop, yang mengetuai panel termasuk hakim Mahkamah Persekutuan Balia Yusof Wahi dan Aziah Ali, bersetuju berbuat demikian susulan permintaan oleh peguam yang mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan.
“Inilah keputusan kami berkenaan permohonan penangguhan.
“Kami sebenarnya sudah bersedia menyampaikan keputusan. Malah, penghakiman bertulis kami sudah siap. Bagaimanapun, dalam keadaan ... setelah mempertimbangkan hujah oleh responden yang tidak membantah dan pencelah yang membantah, kami membenarkan permohonan penangguhan.
“Kami membuat keputusan ditangguhkan sehingga tarikh ditetapkan.”
Permintaan penangguhan dibuat oleh peguam kanan persekutuan Amarjeet Singh, yang mengatakan kerajaan berhasrat untuk menyelesaikan masalah itu dengan cara perundangan atau eksekutif.
“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan penangguhan kerana sifatnya yang sensitif, yang mempunyai implikasi lebih jauh dan oleh itu memerlukan penyelesaian dengan cara lain.
“Saya dimaklumkan oleh Peguam Negara (Tommy Thomas), bahawa eksekutif mengatakan ia perlu menangani perkara ini dengan berhati-hati dan merujuk kepada pelbagai pihak berkepentingan.
“Memandangkan keseriusan perkara itu, saya diarahkan untuk memberitahu mahkamah bahawa eksekutif akan memulakan usaha mencapai penyelesaian dengan cara lain bermula hari ini.”
Panel sepatutnya membuat keputusan hari ini sama ada kerajaan boleh menghalang bayi luar nikah Islam menggunakan nama bapa.
Kes itu berlaku selepas pasangan di Johor memfailkan semakan kehakiman pada 2016 untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan “bin Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.
Mahkamah Rayuan memutuskan berpihak kepada pasangan itu pada Mei tahun lepas, yang membolehkan anaknya menggunakan nama bapa dan bukan “Abdullah”, yang merupakan nama digunakan JPN untuk bayi Islam luar nikah.
JPN bagaimanapun, memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. Pada 8 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan JPN untuk merayu terhadap keputusan itu. – 22 November, 2018.
Komen