Skandal Facebook 'serang' pengkritik, ketua komunikasi bertanggungjawab


Facebook kini berdepan skandal besar selepas pendedahan media mendapati gergasi media sosial itu menggunakan teknik meragukan untuk menyerang pengkritiknya termasuklah George Soros. – Gambar EPA, 22 November, 2018.

KETUA komunikasi Facebook yang akan berundur pada Rabu mengaku bertangggungjawab mengupah sebuah syarikat perunding konservatif yang dituduh menggunakan teknik gaya “ops hitam” dan turut mengakui yang pengkritik termasuklah pelabur George Soros jadi sasaran.

Ketua Operasi Facebook Sheryl Sandberg berikrar akan melakukan semakan “menyeluruh” berkaitan hubungan mereka dengan Definers untuk mengalih kritikan daripada gergasi media sosial itu.

Beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg menegaskan yang mereka terkejut dengan pendedahan New York Times minggu lepas yang mendakwa media sosial itu menggunakan Definers untuk mengaitkan pengkritiknya dengan George Soros.

Soros, dermawan dan ahli perniagaan warga AS kelahiran Hungary itu sering jadi sasaran nasionalis dan kumpulan teori konspirasi anti Semitik.

Definers diupah pada 2017 dalam usaha untuk mempelbagaikan penasihat Facebook di Washington, yang berdepan tekanan hebat daripada pesaing dan syarikat media lain supaya Facebook dikawal selia kerajaan, kata Elliot Schrage dalam mesej kepada rakan sekerjanya yang dimuat naik dalam talian.

“Kami meminta Definers untuk melakukan kerja perhubungan awam yang biasa dilakukan untuk menyokong operasi syarikat- menghantar hebahan media, melakukan kajian, menulis dokumen dan berhubungan dengan wartawan,” kata Schrage.

“Apabila tekanan terhadap Facebook semakin memuncak, pasukan komunikasi lebih kerap menggunakan Definers.”

Definers mula “mengkaji” Soros selepas dermawan itu dilabel oleh Facebook sebagai “pengancam masyarakat” dalam ucapannya di Davos awal tahun ini, menurut Schrage.

“Kami tak pernah dengar kritikan mengenainya sebelum ini dan mahu menentukan sama ada beliau ada motivasi kewangan,” kata Schrage.

“Definers mengkaji perkara ini menggunakan maklumat awam.”

Apabila kempen “Freedom from Facebook” mula bermula dan dianggap banyak pihak sebagai kempen akar umbi, Definers mendapati yang Soros ada membiayai sebahagian ahli kempen tersebut dan berkongsi hasil siasatan mereka dengan media, kata Schrage lagi.  

Beliau menegaskan yang ketika tekanan semakin memuncak kepada Facebook pada tahun ini, pasukan komunikasi semakin banyak menggunakan Definers dan hubungan itu “semakin tidak terurus dengan baik.”

Kerja Definers mula berkembang sehingga melibatkan siasatan ke atas pesaing Facebook, menurut Schrage.

“Tanggungjawab untuk keputusan ini terletak kepada kepimpinan pasukan komunikasi,” kata Schrage.

“Iaitu saya.”

Beliau menyertai Zuckerberg dan Sandberg menekankan yang Definers tidak diupah untuk mencipta atau menghebahkan berita palsu tentang Facebook. Zuckerberg berkata Facebook berhenti menggunakan khidmat Definers pada hari sama New York Times mendedahkan skandal tersebut.

Schrage mengaku bertanggungjawab dalam kontroversi itu dilihat banyak pihak sebagai jalan mudah Facebook menamatkan skandal tersebut kerana pada Jun lalu, beliau sudah mengumumkan akan berundur dari gergasi media sosial itu selepas berkhidmat lebih sedekad lamanya untuk memulakan kehidupan baharu. – AFP, 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen