Ahli 'Bali Nine' kini berdepan hukuman di Australia


Renae Lawrence, 41, adalah satu-satunya ahli Bali Nine yang bebas selepas meringkuk dalam penjara di Indonesia selama 13 tahun. – Gambar EPA, 22 November, 2018.

SEORANG wanita warga Australia yang ditahan dalam penjara Indonesia selama 13 tahun kerana terlibat dalam geng penyeludupan dadah “Bali Nine” kembali ke tanah air semalam, mungkin berdepan kemungkinan dipenjarakan kerana dakwaan jenayah melibatkannya lebih sedekad lalu. 

Renae Lawrence, 41, tiba di Brisbane awal pagi semalam sebelum menuju ke rumahnya di Newcastle di New South Wales. Beliau adalah satu-satunya ahli geng “Bali Nine” yang bebas.

Ketibaan Lawrence disambut wartawan, jurugambar dan kamera TV di lapangan terbang Brisbane dan Newscastle, tetapi beliau tidak menjawab soalan dikemukakan media.

Polis mahu menyoal siasat Lawrence mengenai kesalahan yang dilakukannya sebelum beliau dipenjara di Bali pada 2005, tetapi tidak menghalangnya meninggalkan lapangan terbang.

Media Australia melaporkan Lawrence mempunyai dua pertuduhan berkaitan kes kecurian kenderaan.

Tidak dapat dipastikan jika polis Newscastle akan meneruskan pendakwaan itu, tetapi Menteri Dalam Negeri Peter Dutton berhujah yang Lawrence tidak wajar “dilepaskan” hanya kerana sudah menjalani hukuman penjara di Indonesia.

“Jika anda lakukan kesalahan di negara kita, anda perlu berdepan sistem keadilan di sini,” katanya.

Lawrence, satu-satunya wanita dalam “Bali Nine” ditangkap bersama-sama 2.6 kilogram heroin dililit di badannya ketika cuba menaiki penerbangan balik ke Australia dari Bali.

Beliau pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, tetapi hukuman itu dikurangkan kepada 20 tahun yang kemudian dikurangkan lagi kerana berkelakuan baik.

Daripada sembilan ahli kumpulan penyeludupan itu, ketua mereka Myuran Sukumaran dan Andrew Chan ditembak mati pada 2015, mencetuskan ketegangan diplomatik antara Australia dan Indonesia.

Indonesia adalah negara yang mempunyai hukuman berkaitan kesalahan dadah paling ketat di dunia termasuklah hukuman mati.

Seorang lagi ahli kumpulan, Tan Duc Thanh Nguyen meninggal dunia dalam penjara kerana kanser perut, sementara lima orang lagi sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Pengkritik mengecam polis Australia kerana mendedahkan maklumat kepada polis Indonesia mengenai kumpulan itu dan menyebabkan mereka berdepan hukuman kejam di Indonesia. – AFP, 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen