SIASATAN terhadap Prof Dr Sundra Rajoo diteruskan walaupun bekas pengarah timbang tara itu mempunyai keistimewaan diplomatik dan kekebalan terhadap penahanan dan tangkapan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka sudah memulakan siasatan terhadap bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian (AIAC) dan akan meneruskannya, walaupun beliau ada keistimewaan khas.
Sundra juga adalah hakim dalam Jawatankuasa Etika FIFA. Beliau dilantik tahun lepas sebagai salah seorang timbalan pengerusi jawatankuasa timbang tara badan induk bola sepak dunia itu.
Jawatankuasa itu pernah mengenakan pengharaman sepanjang hayat ke atas beberapa pegawai badan bola sepak dunia kerana terlibat dalam skandal rasuah termasuklah bekas presiden FIFA Sepp Blatter dan Presiden UEFA Michel Platini.
SPRM semalam memohon tahanan reman tujuh hari terhadap peguam terkemuka itu tetapi majistret menolaknya dengan alasan agensi anti rasuah itu tidak ada bidang kuasa untuk menahan Sundra, pegawai tinggi yang dilindungi di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 (Akta 485).
Sundra juga tidak tertakluk kepada sebarang bentuk penahanan di bawah Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna) 1966. Beliau dibebaskan tanpa syarat selepas ditahan di lokap SPRM kelmarin.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya sama ada Sundra akan dipanggil untuk soal siasat oleh SPRM.
Sundra ditahan pada malam Selasa selepas menyerah diri ke SPRM. Beliau dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk ditahan reman keesokan harinya, tetapi permohonan SPRM itu ditolak.
Terdahulu semalam, peguam yang memegang jawatan pengarah AIAC sejak 2010 itu, menghantar surat peletakan jawatannya. Kontrak jawatan itu sepatutnya tamat pada Februari.

Dalam tempoh beberapa jam selepas peletakan jawatan itu, Pejabat Peguam Negara mengumumkan pelantikan seorang lagi peguam terkemuka, Vinayak Pradhan sebagai pemangku pengarah AIAC.
Peguam Negara Tommy Thomas menyifatkan Pradhan sebagai “orang yang terkenal” dalam bidang timbang tara di Malaysia dan “diakui keupayaannya, pengalaman dan kepimpinannya dalam bidang timbang tara”.
Kes Sundra menjadi perhatian susulan SPRM menyerbu pejabatnya dan menyoal siasat beberapa kakitangan berhubung dakwaan beliau menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan bantuan daripada menteri dulu dan sekarang bagi melanjutkan kontraknya sebagai pengarah.
Tuduhan itu bermula daripada surat tidak bernama dialamatkan kepada SPRM dan salinan kepada Thomas, Ketua Polis Negara Fuzi Harun, Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Presiden Peguam Malaysia George Varughese dan beberapa pegawai kanan kerajaan.
The Malaysian Insight menghubungi Sundra dan masih menunggu responsnya. – 22 November, 2018.
Komen