Kerajaan laksana levi progresif bagi pekerja asing pada 2019


Asila Jalil

Kadar levi progresif akan memberi peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan, kata Zahid. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Ogos, 2017.

KERAJAAN akan melaksanakan kadar levi secara progresif menjelang 2019 untuk memberi peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan, kata Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata majikan mungkin lebih berminat untuk mengupah pekerja asing disebabkan kos pengambilan yang lebih rendah.

“Cadangan kepada kenaikan levi progresif dan mengadakan persekitaran yang lebih kondusif dan kompetitif telah dipertimbangkan dan dipersetujui dalam usaha untuk meningkatkan pengambilan pekerja tempatan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di bangunan Parlimen hari ini.

Kadar levi progresif yang berdasarkan bilangan pekerja asing itu akan dilaksanakan pada 2019.

Kerajaan juga bersetuju untuk menambah kekerapan pemeriksaan kesihatan terhadap pekerja asing  bagi mengelakkan meningkatnya kes-kes penyakit berjangkit di Malaysia.

Mulai 1 Januari 2018, setiap pekerja asing diwajibkan menjalani empat sesi pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan sebelum berlepas, dalam tempoh sebulan selepas berada di Malaysia, pada akhir tahun pertama dan akhir tahun kedua.

“Kerajaan telah memudahkan pengambilan pekerja asing melalui sistem online iaitu Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sisitem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) yang telah beroperasi sejak April tahun ini. 

Saya berharap tidak akan ada lagi masalah yang timbul dalam urusan pengambilan pekerja asing dan penglibatan orang tengah dalam proses ini akan dibasmi secara holistik,” tambahnya.

Berdasarkan statistik, bilangan pekerja asing yang sah telah berkurangan kepada 1.758 juta pada 31 Julai berbanding 2.135 juta pekerja pada hujung 2015.

Sebanyak lapan isu telah dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa iaitu cadangan bagi meningkatkan pengambilan pekerja asing dan cadangan bagi kadar levi yang baharu oleh Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian Kesihatan mencadangkan untuk meningkatkan pemeriksaan kesihatan pekerja asing  sementara Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri mencadangkan beberapa garis panduan bagi penempatan sementara pekerja asing di lokasi-lokasi baharu dalam sektor perkilangan di bawah konsep kilang dalam kilang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula mengetengahkan hal berkaitan layan diri di stesen-stesen minyak.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri membawa isu-isu berkaitan pendaftaran E-Kad untuk pekerja asing tanpa izin dan majikan, pengambilan kerja untuk pemegang kad UNHCR Rohingya dan status terkini pengambilan pekerja asing. – 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen