2 saksi penting diperlukan untuk siasatan kehilangan Pastor Koh


Noel Achariam

Keluarga Pastor Raymond Koh kini mengharapkan saksi-saksi utama kes kehilangannya dapat tampil dalam sesi siasatan panel Suhakam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

KETIKA siasatan awam dijalankan berikutan kehilangan Raymond Koh sudah meniti pusingan akhir, peguam-peguam mewakili keluarganya kini mencari dua saksi baru yang sekiranya tidak tampil, siasatan itu akan menemui jalan buntu, kata mereka. 

Mereka berkata keterangan kedua-dua saksi tersebut adalah penting bagi menjelaskan sama ada pentadbiran negara, atau polis, mempunyai peranan di sebalik kehilangan pastor itu.

Peguam Jerald Gomez yang mewakili keluarga Koh berkata bahawa mereka memohon agar panel siasatan Suhakam yang memerlukan subpoena tiga saksi boleh mengizinkan sekurang-kurangnya dua orang saksi untuk menghadiri sidang tersebut.

“Kami perlukan sekurang-kurangnya dua saksi untuk tampil kerana kami ingin memeriksa kembali mereka dan melihat apakah kesaksian mereka konsisten dan benar atau sama ada keterangan mereka akan bercanggah antara satu sama lain.

“Sekiranya hanya satu saksi yang hadir, ia akan jadi satu hal yang sia-sia sahaja kerana dia boleh mengatakan apa sahaja yang dia mahukan tanpa ada bantahan terhadap buktinya,” kata Gomez kepada The Malaysian Insight.

Gomez berkata, nama-nama ketiga-tiga mereka tidak didedahkan atas permintaan panel Suhakam kerana bagi mengelakkan pencerobohan terhadap saksi.

Tiga saksi baru kini diperlukan selepas keterangan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Huzir Mohamed.

“Bukti baru muncul dan membuat kami memohon tiga saksi baru untuk dipanggil.”

Huzir dikenalpasti sebagai pegawai Bukit Aman yang menyelaraskan siasatan bersama polis mengenai kehilangan Koh dan tiga aktivis lain.

Pegawai-pegawai Suhakam mengesahkan mereka telah memanggil satu saksi dan berkata yang lain akan dipanggil jika panel memerlukan lebih banyak maklumat dalam pengurusan siasatan kes Koh.

Panel Suhakam untuk menyiasat kehilangan Pastor Koh, Amri Che Mat, Joshua dan Ruth Hilmy dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha dan Aishah Bidin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

Gomez berkata semasa siasatan Suhakam tersebut, beberapa saksi utama gagal hadir ketika panel itu menyiasat kehilangan Koh dan seorang aktivis Perlis, Amri Che Mat.

Dalam kes Koh dan Amri, polis gagal menjejaki dan saksi utama, Saiful Bahari, pemilik Toyota Vios berwarna emas yang dikatakan terlibat dalam kehilangan mereka berdua.

Bagaimanapun ia tidak berlaku walaupun permohonan peribadi daripada panel Suhakam kepada Huzir dinyatakan dan pegawai itu memberi jaminan bahawa beliau akan melakukan yang terbaik.

Bagi kes Amri polis juga tidak dapat menjejaki Saiful Afdzan, pemilik restoran Mak Lang di Perlis, yang didakwa melihat penculikan itu berlaku di hadapan restoran miliknya.

Bulan lepas, panel Suhakam telah menutup kes Amri, yang bermula pada 22 Januari tahun ini, yang menyaksikan 24 saksi dipanggil untuk memberi keterangan mereka.

Panel itu juga dijangka menutup kes Koh selepas semua saksi memberi keterangan pada 7 Disember.

Panel itu dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha dan Aishah Bidin.

Koh sebelum ini dilaporkan diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh kira-kira 15 lelaki dalam tiga SUV hitam.

Penculikan itu dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dan disifatkan sebagai satu operasi yang dirancang rapi.

Suhakam juga turut melakukan siasatan terhadap kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth, untuk menentukan sama ada ia adalah kes-kes kehilangan secara paksaan. - 22 November 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen