KEMENTERIAN Luar Iran mengecam sekatan terbaru Perbendaharaan AS dan menyifatkannya sebagai “tidak berhasil dan tidak masuk akal” dalam sebuah kenyataan hari ini.
“Sekatan yang tidak akan berhasil, adalah tidak masuk akal dan tidak berkesan ... Ia pasti tidak akan mencapai hasil yang diinginkan mereka dan pihak berkuasa mereka,” katanya.
“Cepat atau lambat mereka akan sedar perancangan ini sia-sia belaka.”
Washington melancarkan sekatan baru ke atas Tehran pada hari Selasa, dengan tuduhan ia mewujudkan jaringan kompleks syarikat Rusia dan perantara Syria bagi menghantar minyak ke daerah Damsyik, yang kemudiannya didakwa memberi dana kepada pergerakan Hezbollah dan Hamas.
AS menganggap Hizbullah, sebuah kumpulan militan bersenjata Lubnan, dan Hamas, kumpulan Islam Palestin yang mengawal Semenanjung Gaza, sebagai organisasi pengganas.
Perbendaharaan AS berkata dalam satu kenyataan bahawa Tehran, “bekerjasama dengan syarikat Rusia, menyediakan berjuta-juta tong minyak kepada kerajaan Syria” di bawah Presiden Bashar al-Assad.
“Rejim Assad, sebagai timbal balik, memudahkan aliran wang ratusan juta dolar AS ke Kor Pengawal Revolusi Islam dan Pasukan Al-Quds untuk pemindahan dana kepada Hamas dan Hizbullah,” katanya, merujuk kepada unit operasi tentera asing Iran. – AFP, 21 November, 2018.
Komen