KERAJAN Mongolia memutuskan memecat seorang naib menteri kerana terbabit dalam skandal penyelewengan kewangan, lapor agensi berita Xinhua.
Naib Menteri Pembinaan dan Pembangunan Bandar Shukhert Lkhamsuren dipecat apabila syarikat miliknya, “Darkhan Makh” didakwa memperoleh pinjaman dengan kadar faedah rendah bernilai 450 juta Mongolia Tugrik (AS$ 227,000) pada 2017.
Selain itu, Ketua Agensi Penyelarasan Dasar Kerajaan bagi Harta Negara Chultem Nyam-Osor turut dipecat pada Rabu atas kesalahan sama, menurut kenyataan pejabat kerajaan.
Bulan lepas dilaporkan beberapa ahli Parlimen Mongolia dan pegawai tinggi kerajaan dilaporkan memperoleh pinjaman dengan kadar faedah rendah daripada dana yang diperuntukkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana.
Pada Isnin seramai 27 ahli Parlimen Parti Rakyat Mongolia mengemukakan cadangan supaya kerajaan dibubarkan ekoran skandal itu.
Menurut perlembagaan, cadangan pembubaran harus dipertimbangkan dalam tempoh 15 hari.
Perdana Menteri Mongolia Ukhnaa Khurelsukh bakal dipecat jika cadangan itu disokong lebih 50% ahli Parlimen yang mewakili 76 kerusi. – Bernama, 21 November, 2018.
Komen