Pelancong AS maut di kepulauan Andaman terkena busur panah


Seorang pelancong Amerika Syarikat ditemui maut di sebuah pulau di Kepulauan Andaman, dipercayai diserang dengan busur panah. – Gambar fail AFP, 21 November, 2018.

SEORANG pelancong Amerika Syarikat (AS) ditemui maut di sebuah pulau di Kepulauan Andaman, kata polis hari ini.

Mangsa dikenali sebagai John Allen Chau, 27, dan mayatnya ditemui nelayan serta dibawa ke Pulau Sentinel Utara, kawasan yang dihuni orang asli puak Sentinel.

Menurut agensi berita Xinhua, polis kemudian menahan tujuh nelayan untuk membantu siasatan berhubung pembunuhan itu.

Nelayan berkenaan memberitahu polis, kali terakhir mereka melihat Chau ketika mangsa diserang dengan busur panah sebaik mendarat di pulau sekitar kawasan Andaman Selatan pada 16 November.

Mayat mangsa diheret oleh suku kaum itu sebelum ditimbus dengan pasir pantai.

Laporan mengatakan seorang daripada nelayan kemudian ke Port Blair dan memaklumkan perkara itu kepada paderi dikenali sebagai Alex yang juga rakan Chau.

Paderi itu kemudian menghubungi keluarga mangsa dan kedutaan AS di New Delhi untuk mendapatkan bantuan.

Pihak berkuasa di kawasan berkenaan menghantar pasukan mencari menggunakan helikopter bagi mengesan mangsa. 

“Kami mendapat maklumat penemuan mayat warga asing di Kepulauan Sentinel yang terletak di kawasan terpencil,” kata Timbalan Pesuruhjaya Selatan Andaman Udit Prakash Rai dipetik media tempatan. – Bernama, 21 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen