KERAJAAN tidak sengaja menyasarkan pemimpin Umno walaupun ramai yang diheret ke mahkamah terdiri daripada pemimpin parti itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, pemimpin berkenaan didakwa terlibat dengan salah laku semasa pentadbiran perdana menteri sebelumnya, Najib Razak.
“
“Dan kes yang besar-besar ini kebanyakan melibatkan Umno sebab itu kita ambil tindakan kepada orang ini bukan kerana dia Umno tetapi kerana dia lakukan jenayah,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan bahawa kerajaan hanya mendakwa pemimpin Umno dan tidak bertindak ke atas pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain.
Selain Najib, turut didakwa di mahkamah setakat ini adalah presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi, bendaharinya Tengku Adnan Tengku Mansor.
Turut didakwa adalah dua lagi yang dikaitkan dengan Najib dan Umno adalah Rosmah Mansor dan juga bekas pembantu, Rizal Mansor.
Mengulas mengenai dakwaan terdapat bahawa anak kepada seorang menteri memonopoli kontrak kementerian, Dr Mahathir berkata perkara itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di bangunan Perdana Putra.
Mengulas lanjut mengenai mesyuarat JKKMAR kali kelima pada hari ini, Dr Mahathir menegaskan ia bukti kerajaan serius untuk menangani isu rasuah meskipun baru memerintah selama enam bulan.
“Kita dah dengar tujuh kertas semua, berkenaan masalah dan tindakan yang diambil oleh agensi atau kementerian tertentu supaya kita dapat kurangkan insiden rasuah.
“Dan banyak lagi tindakan perlu diambil, umpamanya kita perlu tentukan barangan yang dibawa masuk melalui kastam perlu diperiksa sepenuhnya bukan secara rawak saja,” katanya. – 21 November, 2018.
Komen