SELEPAS kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam pada Ahad lalu, Pakatan Harapan akan mengerahkan 100 orang pemudanya untuk memantau keselamatan pada ceramah mega di Kepala Batas, Pulau Pinang esok yang akan dihadiri Dr Mahathir Mohamad.
Program Jelajah Rakyat di Bertam itu merupakan program luar yang pertama pengerusi Pakatan Harapan itu selepas berdepan dengan kekecohan di forum Ahad lalu.
Dr Mahathir berkata beliau tidak akan membenarkan insiden itu menutup mulutnya daripada bercakap mengenai isu yang memberi kesan kepada negara.
Selepas ceramah di Pulau Pinang malam esok, beliau dijangka akan akan mengadakan satu lagi ceramah di Ipoh pada Ahad.
Ketua penerangan Bersatu Pulau Pinang Yaakob Osman berkata sayap pemuda parti akan menguruskan soal keselamatan pada acara di Kompleks Sukan MPSP esok.
Armada juga akan bekerjasama dengan pemuda parti pakatan lain – PKR, DAP, Amanah – bagi memastikan insidan yang sama tidak berulang pada acara yang dijangka akan menarik lebih ramai hadirin.
“Kira-kira 100 ahli Pemuda PH akan bertugas. Mereka akan memantau kawasan serta individu yang mencurigakan.
“Kita tidak boleh membuat tapisan, tetapi kita boleh memantau sekiranya mereka membawa apa-apa barangan yang mencurigakan. Kita juga akan memantau mereka yang belum pernah dilihat tetapi memakai baju Bersatu dan mencurigakan.
“Kita juga meminta hadirin agar lebih peka kepada keadaan sekeliling dan mereka yang berada di sekitar. Selepas insiden Ahad lalu, kita tidak boleh memandang ringan,” katanya.
Yaakob memberitahu The Malaysian Insight Bersatu Pulau Pinang sudah menghantar surat rasmi kepada ketua polis daerah Seberang Prai Utara untuk mendapatkan bantuan.
“Kita meminta bantuan anggota polis beruniform untuk memantau ceramah. Ketua bahagian Kepala Batas baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan ketua polis daerah untuk membincangkan tentang perkara itu,” katanya.
Pada insiden kekecohan Ahad lalu, tiga remaja yang ditahan reman oleh polis mendakwa diberikan baju-t “Armada”, merujuk kepada sayap pemuda Bersatu.
Turut dilaporkan remaja berusia antara 17 dan 19 tahun itu dibayar RM50 seorang untuk menghadiri forum berkenaan. Setakat ini polis menahan 13 orang berhubung kejadian itu.
Ceramah esok akan turut menampilkan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.
Kali terakhir Dr Mahathir ke Pulau Pinang adalah pada rumah terbuka Hari Raya Bersatu di George Town. Beliau sebelum itu turut berucap pada ceramah di Tasek Gelugor dekat Kepala Batas. Kedua-duanya menarik ribuan hadirin. – 17 Ogos, 2017.
Komen