BERPULUH ribu pekerja di seluruh Korea Selatan melancarkan mogok separuh hari pada Rabu, mengecam dasar buruh kerajaan.
Kira-kira 40,000 pekerja - termasuk mereka yang bekerja dalam industri auto - mengadakan bantahan di Seoul dan 13 bandar lain, kata Gabungan Kesatuan Sekerja Korea (KCTU).
Seramai kira-kira 10,000 pekerja yang memakai lilit kepala merah berhimpun di luar bangunan parlimen, sambil melaungkan slogan dan memegang sepanduk. Ratusan anggota polis rusuhan bersiap sedia tidak jauh dari himpunan itu.
KCTU menganggarkan seramai 160,000 pekerja gabungan akan menyertai bantahan jalanan di seluruh negara.
Langkah kerajaan untuk menambah jumlah masa bekerja maksimum 52 jam seminggu negara itu - sebagai penyesuaian kepada permintaan - telah mencetus kemarahan pekerja.
Mereka juga mahu kerajaan pentadbiran Presiden Moon Jae-in menunaikan janji pilihan raya iaitu menaikkan kadar gaji minimum daripada 7,530 won sejam (AS$6.66) kepada 10,000 won (AS$8.85) pada 2020.
Pada awal bulan ini, Moon memecat dua pegawai ekonominya. Negara ekonomi ke-11 terbesar di dunia itu kini bergelut dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, kadar pengangguran dan jurang pendapatan yang meningkat. – AFP, 21 November, 2018.
Komen