SEORANG hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah sementara untuk menyekat pentadbiran Presiden Donald Trump menafikan suaka kepada pendatang yang memasuki negara itu secara haram, menyebabkan presiden itu mendakwa mahkamah tersebut mengamalkan sikap berat sebelah terhadapnya.
Trump mengeluarkan satu perisytiharan pada awal bulan ini yang menyebut hanya mereka yang memasuki negara itu melalui pusat pemeriksaan rasmi boleh memohon suaka berbanding mereka yang menyelinap masuk dengan menyeberangi sempadan semasa beribu-ribu anggota konvoi pendatang dari Amerika Tengah bergerak ke utara negara tersebut menerusi Mexico.
Bagaimanapun, Hakim Daerah AS Jon Tigar di San Francisco mengeluarkan satu perintah sekatan sementara terhadap perisytiharan Trump itu, sekali gus membenarkan permohonan kumpulan hak asasi manusia yang mengemukakan saman sejurus selepas perisytiharan tersebut diumumkan.
“Ia sesuatu yang memalukan,” kata Trump yang mendakwa hakim itu berat sebelah dan menyifatkan Tigar, yang dilantik oleh presiden Barack Obama, sebagai “hakim Obama”.
“Kami akan memenangi kes itu di Mahkamah Agung Amerika Syarikat,” kata Trump.
Dalam penghakimannya, Tigar berkata Akta Imigresen dan Kewarganegaraan (INA) 1965 menyebut bahawa mana-mana warga asing yang tiba di AS, “sama ada di pelabuhan yang ditetapkan atau sebaliknya,” boleh memohon suaka.
“Peraturan yang menghalang suaka diberi kepada pendatang yang memasuki negara di luar pelabuhan pintu masuk adalah bercanggah dengan INA dan hasrat Kongres,” kata Tigar.
“Apa pun ruang lingkup kekuasaan presiden, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya meminda undang-undang imigresen untuk meletakkan syarat yang telah dilarang secara jelas oleh Kongres.”
Perintah sekatan hakim itu kekal sehingga mahkamah memutuskan kes tersebut.
Pentadbiran Trump berhujah bahawa beliau memiliki kuasa eksekutif untuk membendung penghijrahan atas alasan keselamatan negara, dan kuasa itu diguna pakai sejurus selepas presiden itu mengambil alih jawatan tahun lepas dengan mengenakan larangan perjalanan yang kontroversi ke atas pengembara dari beberapa negara Islam.
Versi akhir perintah itu dikekalkan oleh Mahkamah Agung AS pada 26 Jun selepas satu pertikaian perundangan yang berpanjangan.
“Sistem suaka kami terjejas dan telah disalah guna oleh berpuluh-puluh ribu permohonan yang tidak mempunyai merit setiap tahun,” menurut satu kenyataan bersama oleh Jabatan Keadilan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri selepas keputusan mahkamah berhubung permohonan suaka itu diumumkan.
Pada 2018, rondaan di kawasan sempadan mencatat lebih 400,000 orang menyeberangi sempadan secara haram, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Kenyataan jabatan itu menyebut dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, jumlah mereka yang memohon suaka meningkat 2,000%.
Bercakap di kawasan sempadan di Pantai Imperial, California, Ketua Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen melipatgandakan usaha dan mengugut untuk menahan atau menghantar pulang semua pendatang yang mengambil bahagian dalam konvoi terbabit yang berani menyeberangi sempadan ke AS.
“Jangan silap, kami amat serius. Anda tidak akan dapat memasuki negara kami secara haram… Jika anda cuba memasuki negara kami tanpa kebenaran, anda melanggar undang-undang AS, oleh itu anda akan ditahan, didakwa dan dihantar pulang.”
Beliau mendakwa sekurang-kurangnya 500 anggota konvoi pendatang dikenal pasti sebagai “penjenayah” tanpa memberikan sebarang bukti atau butiran lanjut berkaitan ciri atau sumber asal dakwaan itu. – Bernama, 21 November, 2018.
Komen