PROFESOR Dr Sundra Rajoo yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi, meletak jawatannya sebagai pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) pagi tadi.
Mengesahkan perkara itu, peguamnya Phillip Koh berkata Sundra Rajoo mahu melindungi nama baik institusi itu.
“Ya beliau meletakkan jawatan kerana beliau sendiri tidak mahu AIAC sebagai sebuah institusi, dan pejabat pengarah, perlu dilindungi dan tidak tercemar,” kata Koh kepada The Malaysian Insight.
Difahamkan Sundra menghantar surat peletakan jawatannya pagi ini ketika masih dalam tahanan SPRM.
Beliau dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi di mana SPRM memohon tahanan reman tujuh hari terhadapnya.
Bagaimanapun, majistret menolak permohonan SPRM dengan alasan agensi anti rasuah itu tidak ada bidang kuasa menahan Sundra, yang juga pegawai tinggi dan dilindungi di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992.
AIAC yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), ditukar nama pada Februari tahun ini.
AIAC yang pertama seumpamanya ditubuhkan di bawah Organisasi Perundingan Undang-undang Asia Afrika (AALCO), organisasi antarabangsa yang terdiri daripada 47 negara anggota dari seluruh rantau itu.
Ditubuhkan di bawah perjanjian antara Malaysia dan AALCO, AIAC tidak mengaut keuntungan, institusi timbang tara antarabangsa bukan kerajaan yang bebas dan diberikan keistimewaan tertentu dan kekebalan oleh kerajaan Malaysia bagi tujuan melaksanakan fungsinya.
Peranan AIAC ialah membantu menyelesaikan perbalahan antara sempadan dan memberi khidmat nasihat kepada syarikat, pengurusan kanan dan pihak berkepentingan menerusi proses timbang tara antarabangsa. Timbang tara ialah penyelesaian undang-undang di luar mahkamah.
Sundra juga presiden Institut Penimbang Tara Bertauliah (CIArb) sejak 2016. Beliau juga presiden pengasas Persatuan Undang-undang Pembinaan dan bekas presiden Kumpulan Timbang Tara Rantau Asia Pasifik, yang juga persekutuan bagi hampir 40 institusi timbang tara di rantau Asia Pasifik, menurut laman web AIAC.
Sundra melanjutkan pelajaran dalam undang-undang di University of London, England. Beliau juga mempunyai sarjana dalam Undang-undang Pembinaan dan Timbang Tara (dengan merit) dari Leeds Metropolitan University dan sarjana dalam falsafah undang-undang dari Manchester University. – 21 November, 2018.
Komen