Rakyat Sabah dan Sarawak digesa undi untuk perubahan


Bede Hong

PENGUNDI di negeri Borneo perlu bantu untuk membawa perubahan, kata Lim Guan Eng merujuk kepada insiden kekecohan dalam satu forum pada Ahad lalu yang menyaksikan Dr Mahathir dibaling kasut dan botol air.

Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 itu adalah tanda kerajaan terdesak untuk mengekalkan kuasa.

“Saya rasa ini adalah peluang untuk rakyat Malaysia bangkit beramai-ramai untuk membuat perubahan,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

“Kita berharap rakan kita di Sabah dan Sarawak juga akan memberi sokongan terhadap perkembangan ini.”

Sabah dan Sarawak mewakili 56 daripada 222 kerusi Parlimen.

“Kami mahu mereka tahu rakyat di luar Semenanjung Malaysia juga mahukan perubahan dan kami berharap mereka dapat bantu kita membawa perubahan ini,” kata Lim.

Kekecohan forum tersebut berlaku kira-kira jam 5.30 petang di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam ketika Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan menjawab soalan berhubung insiden Memali, yang berlaku di bawah pentadbirannya.

Tiga remaja ditahan anggota keselamatan Bersatu pada hari yang sama. Remaja terbabit yang berusia antara 17 hingga 19 tahun melakukan kekecohan pada forum berkenaan dengan membaling kasut, kerusi dan menyalakan dua suar.

Hari ini, Lim menyalahkan Umno berhubung kekacauan di Shah Alam. “Ia adalah tanda terdesak,” katanya.

“Mereka menggunakan kekerasan untuk menutup mulut seorang lelaki berusia 92 tahun yang juga bekas perdana menteri menunjukkan mereka ketandusan idea.

“Ia menunjukan Umno merasakan mereka akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.”

Setakat ini, polis menahan 10 orang suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun. Mereka disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman, Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya dan juga kerana merusuh.

Polis berkata, mereka kini memburu suspek yang dipercayai membayar remaja terbabit RM50 seorang untuk melakukan kekacauan itu.

Lim turut mengkritik Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kerana menyalahkan penganjur kerana gagal menghalang kekacauan.

“Orang datang dan mahu mengganggu anda, apa yang anda boleh buat? Kita harap polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.”

Ahli parlimen, aktivis dan peguam turut menyelar Khalid dan juga ketua polis Shah Alam Shafien Mamat kerana menyalahkan penganjur forum terbabit.

Namun Dr Mahathir berkata, lebih banyak lagi forum akan diadakan.  – 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen