KETIKA debat ICERD mula mencetuskan konflik perkauman dan agama, saya mengimbau kenangan 35 tahun lalu. Kisah seorang guru sukan berbangsa Cina yang berusaha menyelesaikan isu perkauman antara pelajar melalui sukan.
Pada 1983, guru jurulatih ragbi terkenal di Kedah dipindahkah sekolah kami. Setelah dua dekad Lim Eng Hui menjadi guru sukan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) yang sentiasa muncul juara ragbi di Kedah, misi baru guru Cina itu, bakal berubah.
Apabila ditukarkan ke Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Alor Setar – yang tarafnya jauh ke bawah berbanding status elit KSAH – tugas Eng Hui ialah menjadikan sukan ragbi sebagai penyelesai isu perkauman.
STAR berada di pinggir bandar Alor Setar. Populasi seribu pelajar dengan 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan 10 peratus India. Pergaduhan kaum berlaku hampir tiap minggu. Tahapnya bukan kecil – pelajar masukkan batu-bata yang dipecah-pecah dalam beg galas dan berbantai sesama sendiri.
Kecederaannya pula bukan sedikit. Terkoyak muka dan kepala, dan ada yang sampai patah tulang selangka. Krisis kaum bukan hal kecil pada dekad awal lapan puluhan di STAR.
Malah, ada murid samseng jaguh perkauman yang tanpa rasa takut akan berani bangun dan mencabar guru bertumbuk di luar sekolah atas alasan perkauman.
Jadi, kedatangan legenda ragbi Eng Hui satu kejutan. Bagaimana guru sukan yang sudah sohor kerana membawa KSAH menjadi antara sepuluh sekolah sukan terbaik di Malaysia, boleh dipindahkan ke sekolah pinggir bandar.
Apa Eng Hui lakukan?
Ketika pergaduhan kaum selalu tercetus antara pelajar Melayu dan Cina, Eng Hui memulakan kerja kejurulatihan dengan mencari semua kepala samseng di STAR.
Kepala samseng
Guru yang bertubuh tinggi dan tegap ini, pada usia lima puluhan, mula merayau sekitar sekolah. Mencari dan berbual dengan hampir semua pelajar bermasalah. Kemudian dia bertemu dengan kepala-kepala samseng kaum.
Semua murid kaki bertumbuk ini bertubuh tegap. Samseng sekolah yang kerap melakukan kesalahan disiplin dan suka bergaduh. Tugas Eng Hui ialah menyeret semua samseng ini ke padang ragbi.
Satu kerja mudah kerana permainan ragbi yang lasak dan terdedah pada kekerasan menarik minat kaki bertumbuk untuk turun ke padang. Pasukan ragbi STAR mula berubah wajah. Senarai pemain separuh Melayu, separuh Cina. Eng Hui turut menyeret pelajar perkauman yang lain untuk membina kelab penyokong Ultra STAR.
Malah, di padang pula kombinasi semangat perpaduan dibentuk secara taktikal. Pemain fly-half yang selalu menjadi mangsa tackle lawan ialah seorang pelajar Cina. Keselamatannya kini akan dijaga seorang pemain Melayu. Tugas utama ialah melindungi fly-half apabila musuh menyerang ketika scrump.
Falsafah Eng Hui mudah: “Buat apa saja pada lawan asalkan fly-half selamat. Dalam padang kerja pemain melindungi saudaranya!”
Manakala pasukan penyokong Ultra STAR gabungan murid Melayu dan Cina dibariskan sepanjang garisan padang dan dikerah bersorak sepanjang perlawanan. Sekelip mata – ragbi menjadikan STAR, antara lima paling kuat di Kedah.
Status ragbi STAR setaraf KSAH, Sekolah Sultan Abdul Halim, Sekolah Menengah Sains Sungai Petani dan Sekolah Ibrahim Sungai Petani. Semua empat sekolah saingan ini bertaraf elit A.
Kebanggaan ragbi satu-satunya yang menjadikan STAR punya harga diri. Itu saja yang boleh dimegahkan kerana keputusan peperiksaan pula sentiasa corot.
Perpaduan
Guru seperti Eng Hui sudah tiada. Guru yang melihat sukan sebagai alat perpaduan untuk menghapuskan jurang perkauman. Perjuangan guru seperti Eng Hui kini dirosakkan ahli politik murahan. Pemimpin parti atau NGO murahan yang mencari makan dengan menjaja isu perkauman.
Murid generasi Eng Hui di STAR sangat ramai. Kebanyakan bekas pemain ragbi pada era Eng Hui kekal bermastautin di Kedah. Sejumlah kecil berada di Kuala Lumpur.
Bekas STARian yang kini berusia lima puluhan; ada yang menjadi dekan fakulti, polis, bekas petinju kebangsaan, akauntan, guru, mekanik, tentera dan pekerja pasar.
Apa pun pekerjaan mereka, semua pemain dan bekas penyokong ultra STAR akan faham makna bersatu untuk menang. Serta, pentingnya falsafah, melindungi rakan tanpa peduli siapa mereka. Setiap pemain bersaudara.
Aspirasi Eng Hui menjadikan STARian melihat sikap perkauman yang ditiupkan hari ini seperti ucapan pemabuk todi.
Hanya orang yang tidak pernah melindungi saudaranya di tengah padang ragbi sahaja boleh menerima isu perkauman sebagai satu perjuangan.
Bagi orang yang tidak pernah bersorak di tepi padang ragbi menyokong kebersatuan pasukan pelbagai bangsa, mereka tidak akan faham semangat perpaduan.
Hanya orang yang tidak pernah menyanjungi perpaduan sahaja yang percaya dan bermegah-megah dengan isu perkauman.
Masalahnya, di negara ini memang ramai pemimpin sedang mabuk todi sekarang. Justeru, kerap merapu dan hilang akal dengan pidato bodoh mengenai perkauman! – 21 November, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen